Home Nasional Malaysia – Bosnia wujud hubungan dua hala

Malaysia – Bosnia wujud hubungan dua hala

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa diiringi Duta Bosnia ke Malaysia, Emir Hadzikadunic (kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Bosnia Trade Cooperation Association di Kompleks Islam Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 28 JANUARI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan Bosnia dan Herzegovina memerlukan sokongan serta bantuan Malaysia untuk memperkukuhkan sektor ekonomi, selain terdapat peluang luas di negara itu untuk diterokai.

Pengerusi Malaysia Bosnia Trade Cooperation Association (MBTCA), Datuk Subhi Dziyauddin, Malaysia menyambut baik peluang itu memandangkan pelaburan negara ini di Bosnia dan Herzegovina masih dalam skala kecil.

“Selain dalam sektor pelaburan ekonomi, negara itu juga telah menyatakan hasrat ingin belajar cara Malaysia untuk mewujudkan Universiti Antarabangsa bermodelkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sana dengan sasaran kapasiti pelajar sekitar Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penubuhan MBTCA di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Pelancaran MBTCA disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Menurut Subhi, penubuhan MBTCA adalah inisiatif susulan hasil lawatan kerja Dr. Mujahid ke program Sarajevo Halal Fair, Ogos lalu.

Katanya, MBTCA berperanan sebagai badan induk yang membantu dalam pengembangan ekonomi dan peningkatan pelaburan dua hala kedua negara.

Jelas beliau, program hari ini juga menyaksikan kehadiran rakan strategik MBTCA dari pelbagai kluster yang dipersetujui bersama.

Kluster itu, kata beliau, melibatkan Kluster Hubungan antara Negara, pendidikan, perniagaan, pelancongan, industri halal dan penubuhan institusi. – MalaysiaGazette