Home Nasional Jangan jadikan pelajar mangsa penjimatan kerajaan – Reezal

Jangan jadikan pelajar mangsa penjimatan kerajaan – Reezal

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan diminta tidak menjadikan pendidikan dan para pelajar sebagai mangsa penjimatan kewangan kerajaan keterlaluan.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya ada ruang penjimatan yang lebih wajar daripada menghukum pelajar.

Tegasnya, ketika Kementerian Kewangan cukup pemurah dengan pusat pendidikan persendirian dan kolej swasta, langkah menurunkan peruntukan kepada sekolah berasrama penuh (SBP) seakan mempunyai motif yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan wajar memberi penjelasan berhubung dakwaan berlaku pengurangan peruntukan ke SBP.

“Pengurangan peruntukan kepada RM14.50 daripada kadar asal RM18.00 seorang pelajar/sehari ini agak besar dan signifikan.

“Secara perbandingan, kos makanan seorang banduan di Malaysia mencecah RM35 hingga RM41 sehari. Ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Adalah sesuatu yang amat tidak wajar apabila kos pelajar cemerlang di sekolah berasrama – yang kosnya jauh lebih rendah mahu dipotong lagi,” katanya.

Reezal menambah, pengurangan peruntukan kepada SBP dan sekolah berasrama ini boleh diibaratkan sebagai satu langkah yang ke belakang.

“Kita positif dan boleh bersetuju dengan usaha Kementerian Pendidikan membuka ruang lebih besar kepada pelajar kumpulan B40 – tetapi apa yang berlaku ini menunjukkan ikhtiar kerajaan yang tidak konsisten,” ujar beliau. – MalaysiaGazette