KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri didakwa cuba menghina para pengundi di Cameron Highlands apabila menyatakan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Cameron Highlands kerana pengundi masih menganggap Perdana Menteri masih bersama Barisan Nasional.
Presiden MCA, Datuk Seri Wong Ka Siong berkata, kenyataan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu seolah-olah para pengundi di sana ‘bodoh lagi bebal dan tiada pengetahuan am’.
“Apa sudah jadi dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ini?
“Atau TPM sebenarnya cuba mencari helah terhadap kekalahan PH?,” soal Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Beliau mengulas kenyataan Wan Azizah yang percaya salah satu faktor PH kalah kerana terdapat pengundi yang percaya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih bersama BN.
“Banyak faktor satunya adalah kawasan besar. “Adalah satu yang mereka setengahnya kita tak dapat berikan penerangan kerana mereka masih lagi fikirkan perdana menteri masih lagi BN, Tun Dr Mahathir masih lagi BN,” kata Wan Azizah yang dipetik daripada sebuah portal.
Ka Siong berkata, semua sedia maklum sejak tahun 2015, Dr Mahathir telah mengkritik hebat kerajaan BN.
Jelasnya, ia bukan lagi perkara rahsia, malah media massa dan media sosial turut melaporkannya secara meluas.
Semasa PRU14 pula, tambah beliau, Dr Mahathir telah mengetuai PH menentang BN.
“Saya yakin semua rakyat tahu dan sedar tentang peranan Tun Mahathir dalam usaha menggulingkan kerajaan BN.
“Kenapa Wan Azizah membuat andaian tidak logik seperti ini?,” soalnya. – MalaysiaGazette