Home Nasional Cuepacs bantu penjawat awam dapat perubatan

Cuepacs bantu penjawat awam dapat perubatan

KUALA LUMPUR – Seramai 11,382 penjawat awam dan ahli keluarga mereka yang menyertai Program Takaful CuepacsCare menerima manfaat rawatan di hospital pakar swasta sepanjang 2018.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, semua peserta mendapatkan rawatan perubatan di hospital pakar dengan tuntutan RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya di bawah program takaful sekali gus mengurangkan beban penjawat awam.

Menurut beliau, antara jenis penyakit yang paling banyak dirujuk peserta CuepacsCare ketika mendapatkan rawatan penghospitalan sepanjang tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

“Cuepacs ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Medicare Assistance yang berjaya mengendalikan CuepacsCare dengan cemerlang.

“Secara purata jumlah tuntutan yang dibayar sebulan untuk penjawat awam yang menyertai ialah sekitar RM3.5 juta.

“Dengan bayaran bulanan serendah RM35 bagi pelan individu dan RM85 pelan keluarga CuepacsCare, penjawat awam di negara ini mampu memiliki kad kesihatan bagi mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta.

“Saya berharap penjawat awam ambil kesempatan ini untuk memiliki CuepacsCare,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azih berkata, selain Takaful CuepacsCare, Cuepacs dan Medicare turut memperkenalkan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA pada 2006 bagi memberi perlindungan 24 jam dengan bayaran sumbangan yang begitu rendah dan mampu dimiliki oleh semua peringkat Penjawat Awam.

“Program Perlindungan Kemalangan Diri CuepacsPA merangkumi perlindungan kewangan untuk kematian, kecacatan anggota badan sama ada kecacatan kekal, penuh atau separa pada kadar caruman serendah RM6 sebulan dengan nilai pampasan sehingga RM440,000.

“Lebih istimewa CuepacsPA memberikan perlindungan kepada penjawat awam dan ahli keluarga 24 jam di seluruh dunia sama ada dalam tempoh bekerja atau bercuti.

“Ia membantu apabila ditimpa kemalangan atau musibah tertentu dalam meringankan beban kewangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azih berkata, Medicare telah melaksanakan Progam Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare bertujuan untuk meningkatkan aktiviti promosi Takaful CuepacsCare dan CuepacsPA kepada penjawat awam melalui aktiviti pemasaran oleh usahawan berkaliber MyCuepacsCare.

Untuk rekod, sehingga kini, seramai 240 usahawan MycuepacsCare sudah menjalani latihan yang disediakan Medicare.

“Usahawan MyCuepacsCare yang terdiri daripada penjawat awam, pesara, graduan dan orang awam diberikan latihan oleh Medicare untuk mengadakan taklimat dan membuka kaunter bagi mempromosi produk CuepacsCare dan CuepacsPA di agensi atau jabatan kerajaan.

“Adalah menjadi harapan Cuepacs supaya setiap warga penjawat awam mendapat perlindungan takaful tambahan untuk diri dan keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette