KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia bersama Jaringan Pendidikan Kewangan sedang merangka satu strategi literasi kewangan kebangsaan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan serta memupuk perilaku dan sikap kewangan berhemat.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menyediakan modul pendidikan kewangan dalam talian yang ringkas dan mudah di Portal Rumahku.
Portal Rumahku ini membantu bakal peminjam untuk memahami dan mengurus hal kewangan mereka dengan berkesan melalui penilaian kendiri yang mudah dan ringkas.
Menurutnya, pelbagai usaha sedang diambil untuk memupuk budaya pengurusan kewangan berhemat bermula dari usia muda.
Ini kerana, kajian Bank Negara Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat yang masih rendah, merangkumi aspek pengetahuan dalam isu-isu kewangan, serta perilaku dan sikap berkenaan pengurusan kewangan.
Antara kelemahan yang telah dikenal pasti termasuk sebilangan besar rakyat tidak mampu menanggung perbelanjaan yang tidak dijangka, dengan 52 peratus mengakui menghadapi kesukaran untuk mengumpul wang sebanyak RM1,000 jika berlaku kecemasan.
Selain itu, hanya 24 peratus rakyat yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan sekiranya hilang punca pendapatan, kata Nor Shamsiah.
Walaupun terdapat penambahbaikan berbanding kajian yang sama pada tahun 2015, secara keseluruhannya masih banyak jurang keupayaan kewangan yang perlu ditangani.
Malah, usaha ini selaras dengan peranan AKPK untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling dan nasihat kewangan serta menawarkan program pengurusan kredit kepada individu yang berdepan masalah membayar pinjaman.
Bakal peminjam akan mendapat gambaran jelas terhadap komitmen kewangan yang bakal mereka hadapi sesudah membeli rumah dan mendapat pinjaman.
Golongan sasar harus menyedari bahawa memiliki rumah melalui pembiayaan perlulah berlandaskan kemampuan untuk membayar balik pembiayaan tersebut sepenuhnya.
Sejak dilancarkan awal tahun ini, seramai 1,037 telah menamatkan program pendidikan kewangan melalui Portal Rumahku.
Daripada jumlah ini, seramai 265 secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi pada masa ini. – MalaysiaGazette