KUALA LUMPUR – Peguam kepada enam bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyaman Peguam Negara, Tommy Thomas dengan segera.
Veteran UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mempersoalkan bagaimana seorang Peguam Negara boleh menasihatkan Perdana Menteri supaya mewujudkan Tribunal Pilihan Raya untuk menyiasat salah laku enam bekas ahli SPR berkenaan.
“Kalau bersalah akan diberhentikan sebagai ahli SPR sedangkan mereka sudah menghantar surat perletakan jawatan sejak November 2018 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.
“Apa perlunya memecat orang yang sudah meletak jawatan,” katanya sambil menyifatkan tindakan itu membuang masa dan membazirkan dana awam.
Beliau yang menyifatkan kes itu sebagai “Hari hitam bagi kedaulatan undang-undang di Malaysia” selepas Peguam Negara menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng.
“Memang pelik tribunal diwujudkan semata-mata kerana sepucuk surat dari Bersih kepada PM yang komplen kononnya enam bekas ahli SPR melakukan penyelewengan seperti tempoh berkempen yang pendek semasa PRU ke-14,” ujarnya.
Mohd Puad mendakwa, Malaysia bertambah parah dengan gelagat Tommy Thomas yang boleh mengancam “keadilan”.
Soalnya, mengapa Bersih tidak mendesak supaya Pengerusi SPR meletak jawatan kerana tidak mengambil tindakan terhadap calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, M. Manogaran yang masuk ke pusat mengundi dengan pakaian berlogo parti.
“Kenapa Bersih senyap kes bagi duit yang Lim Kit Siang dakwa sebagai duit minyak. Apa Bersih lakukan apabila PH menggunakan kenderaan Jabatan Perhutanan Pahang semasa kempen?
Baru-baru ini, pasukan peguam mewakili empat bekas anggota SPR yang disiasat oleh Tribunal Pilihan Raya berhubung dakwaan salah laku ketika mengendalikan PRU14 lalu, sedang mempertimbang untuk menyaman peguam negara, Tommy Thomas.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tindakan itu adalah kerana pihaknya melihat penubuhan serta persidangan tribunal itu tidak perlu diteruskan memandangkan Thomas mengetahui anak guamnya telah menghantar surat perletakan jawatan sekitar November lalu dan perletakan jawatan itu berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Beliau turut menyifatkan penubuhan dan persidangan tribunal itu sebagai suatu pembaziran terhadap peruntukan perbelanjaan negara. – MalaysiaGazette