KUALA LUMPUR – Pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim mungkin menjadi individu yang paling bertuah.
Ini kerana beliau menjadi watak penting dalam sesi fotografi bersama keluarga diraja Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in, baru-baru ini.
Menerusi Instagram miliknya, Rizalman menyifatkan momen itu tidak ternilai harga dalam hidupnya.
“Menjunjung kasih Tuanku. Tidak pernah termimpi patik untuk mendapat peluang di beri kepercayaan menjadi ‘tukang jahit’ pada tuanku berdua.. apatah lagi dapat bergambar sebegini,” tulisnya.
Sultan Pahang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan akan melafaz sumpah esok.
Pelantikan baginda diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad 24 Januari lalu.
Pada 24 Januari lalu, Raja-Raja Melayu telah mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, bagi membincang dan memperkenankan pengganti kepada Sultan Muhammad V, yang meletakkan jawatan sebagai YDP Agong pada 6 Januari lalu. – MalaysiaGazette