Home Nasional Nelayan bawa ketum ditahan

Nelayan bawa ketum ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)

KUALA LUMPUR – Seorang nelayan warga Thailand ditahan bersama daun ketum, air ketum dan ubat batuk pada jarak kira-kira 2.3 batu nautika dari barat laut Tanjung Kemarong, berhampiran Pulau Langkawi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, bot nelayan tempatan yang dikendalikan oleh tekong warga asing itu ditahan pihaknya ketika melakukan rondaan dan kawalan sempadan.

Katanya, pemeriksaaan yang dilakukan ke atas bos berkenaan pada pukul 1.30 tengahari itu mendapati tekong warga Thailand berusia 51 tahun terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota Maritim Malaysia turut menemukan dua bungkusan plastik berisi daun dipercayai daun ketum di dalam kotak simpanan ikan dan bilik kemudi dianggarkan seberat 710 gram.

“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui 10 botol plastik disyaki air ketum dengan anggaran 500 mililiter setiap satu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, turut dirampas empat botol cecair dipercayai ubat batuk dianggarkan 100 mililiter setiap satu.

Katanya lagi, bot bersama tekong dan barangan yang dirampas itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menyeru supaya orang awam melaporkan sebarang aduan jenayah dan kecemasan di laut di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750,” ujarnya. – MalaysiaGazette