ENGLAND – Pasukan the Blues bimbingan Maurizio Sarri dilanyak Bournemouth 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Berikutan keputusan itu, Sarri mendakwa ia hasil kesilapannya apabila kali pertama kelab tersebut tewas dengan kekalahan gol besar 4-0 selepas 23 tahun.
Selaku pasukan pelawat ke Bournemouth, Chelsea mendominasi posisi bola di atas padang di separuh masa pertama tetapi gagal memecahkan kubu pertahanan tuan rumah yang begitu kebal.
Bagaimanapun Bournemoutth berjaya membuka empat gol di babak kedua sekaligus mengejutkan pesaing liga itu.
Bournemouth membuka gol pertama pada minit ke-47 menerusi Joshua King, gol kedua oleh David Brooks pada minit ke-63, gol ketiga menerusi King dan gol keempat pada minit ke-90 menerusi Charlie Daniels.
Ia sekali gus menyaksikan Chelsea tercicir dari carta empat teratas liga dan turun ke tangga ke-5.
Sarri berkata pemainnya tidak beraksi secara berpasukan selepas separuh masa pertama.
“Mungkin saya gagal memberi motivasi kepada mereka,” kata Sarri.
Sarri selepas tamat perlawanan berbual bersama pemain di bilik persalinan selama 40 minit.
Sarri selaku bekas pengurus Napoli menggantikan Antonio Conte di Stamford Bridge.
Pasukannya tidak ditewaskan pada 12 perlawanan pertama sejak awal musim ini tetapi tewas dalam empat daripada 12 perlawanan terakhir ini.
Sarri selama ini telah menganggap masalah dalam pasukan selesai selepas menundukkan Tottenham Hotspurs di separuh akhir Piala Carabao EFL baru baru ini.
“Kekalahan di Stadium Vitality bermakna pemain Chelsea perlu berubah dari segi mental.
“Saya memang kecewa dengan keputusan itu kerana perlawanan ini sangat penting untuk terus ungguli empat teratas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette