KUALA LUMPUR – Seramai lebih kurang 2,000 bekas ahli UMNO Sabah menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk Bahagian Putatan, Sabah semalam.
Borang keahlian itu diserahkan oleh ketua cawangan berkenaan kepada Ketua Bahagian Warisan Putatan, Terence Siambun dan disaksikan oleh Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai.
“Ada juga dalam kalangan mereka yang belum pernah menyertai mana-mana parti sebelum ini…dan saya lihat kemasukan beramai-ramai pada hari ini menunjukkan parti ini semakin diterima oleh rakyat,” katanya dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata, kemasukan kira-kira 2,000 ahli baru itu menjadikan Warisan Putatan kini mempunyai lebih 10,000 ahli dan lebih 100 cawangan.
Sementara itu, Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas berkata, penyertaan ahli baharu tersebut memperkukuhkan lagi parti itu di bahagian tersebut.
“Kemasukan ini menunjukkan keyakinan masyarakat Putatan terhadap Warisan. Mereka yang menyertai Warisan ini tidak dipaksa dan tiada habuan yang diberikan kepada mereka.
“Oleh itu saya meminta semua ahli parti di Putatan ini terus menyokong pucuk pimpinan demi pembangunan di Sabah khususnya di Putatan,”ujarnya. -MalaysiaGazette