KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis (JSPT) Kuala Lumpur akan melaksanakan ‘Konsep Payung’ dalam Op Selamat di ibu negara sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 5 dan 6 Februari ini.
Op Selamat kali ini akan melibatkan pemantauan statik dan rondaan polis di lokasi-lokasi terpilih di ibu kota sepanjang musim perayaan kali ini, kata Ketua JSPT, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini.
“Pemantauan statik dan rondaan akan dibuat empat kawasan iaitu di jalan raya menghala keluar ke arah utara berhampiran Tol Duta, Menghala keluar ke arah selatan berhampiran Tol Sungai Besi.
“Justeru pemantauan dan rondaan polis trafik juga akan dijalankan menghala keluar ke arah Timur berhampiran Tol Sentul dan menghala keluar ke arah Timur berhampiran bulatan Batu Caves,” katanya.
Menurut beliau konsep payung yang dijalankan akan melibatkan anggota polis yang bertugas secara statik di bawah payung untuk memantau kesesakan trafik di laluan tersebut dan bertindak awal melancarkan aliran trafik.
Malah katanya, di lokasi sama, anggota polis trafik membuat rondaan motosikal turut ditugaskan untuk mengesan dan mengambil tindakan mencegah halangan, kesesakan atau insiden lain di lokasi berhampiran.
“Penugasan ini selaras dengan objektif Op Lancar iaitu menentukan kelancaran pergerakan aliran trafik terutama di laluan keluar dan masuk Pusat bandar Kuala Lumpur.
“Pihak JSPT KL berharap dengan omni presence anggota trafik ini, sedikit sebanyak dapat juga membendung kesalahan lalu lintas dan secara tidak langsung dapat memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya seterusnya memberi impak dalam mencegah kemalangan jalanraya,” tegasnya.- MalaysiaGazette