JAKARTA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Indonesia akan mengeluarkan regulasi berhubung formula harga bahan api bukan subsidi bagi memudahkan kerajaan untuk melakukan kawalan harga.
Regulasi Kementerian No. 34/2018 bagi bahan api bukan subsidi menetapkan margin keuntungan mestilah tidak melebihi 10 peratus.
Pengarah Besar Minyak dan Gas, Djoko Siswanto berkata, draf peraturan tersebut sudah lengkap namun masih menanti kelulusan daripada Menterinya, Ignasius Jonan.
Katanya, formula baharu itu akan membantu kerajaan menentukan sama ada harga bahan api bukan bersubsidi sejajar dengan harga minyak global.
“Apabila harga minyak mentah turun, harga bahan api juga sepatutnya turun.
“Bagi menentukan perubahan harga, kita perlukan julat yang tetap,” katanya.
Jelasnya, formula baharu itu turut mempertimbangkang beberapa komponen antaranya harga minyak mentah berasaskan Means of Platt Singapore (MOPS), kos perolehan minyak, kos penyimpanan, kos pengedaran, margin 10 peratus, cukai bahan api dan cukai tambah nilai.
Katanya, purata harga MOPS akan disemak sebulan sekali berbanding setiap tiga kali bagi mendapatkan cerminan harga minyak mentah global yang lebih tepat.
Kerajaan juga akan menentukan harga minimum dan maksimum bahan api.
Menurut Djoko, apabila formula tersebut itu diluluskan, kementerian akan menyemak semula harga bahan api bukan subsidi daripada syarikat petroleum.
Kerajaan akan memberi amaran kepada peruncit yang tidak mematuhi harga minimum dan harga maksimum.- Agensi