Home Utama Tun M dakwa Trump punca nilai ringgit merosot

Tun M dakwa Trump punca nilai ringgit merosot

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada media selepas pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – kemerosotan nilai ringgit berbanding baht pada masa ini didakwa dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat dakwaan itu berkata, kemerosotan nilai ringgit sebanyak RM13 bagi setiap 100 baht adalah disebabkan kenaikan mata wang dolar.

Menurutnya, nilai ringgit kini sudah pun naik dan kejatuhannya hanya daripada segi peratusan.

“Ringgit baru ini dan naik semula. Yang jadi masalah ialah mata wang dolar AS naik kerana apa yang dilakukan Trump. Apabila dolar AS naik maka nilai ringgit jatuhlah.

“Bukan jatuh betul-betul tetapi hanya dari segi peratusan. Sekarang ini RM4.16 (berbanding AS$1), sebelum ini RM4.29,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perkara seperti itu tidak boleh diambil sebagai ukuran tepat kerana terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam menentukan prestasi ekonomi negara.

Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendesak kerajaan menjelaskan kemerosotan besar ringgit berbanding baht, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah kalah pada pilihan raya umum lalu.

Najib berkata, nilai ringgit menunjukkan pemulihan berbanding baht sebelum PRU-14.

“Laungan PH pada suatu masa dahulu, ialah ‘Najib turun, ringgit naik’. Saya dah turun dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah naik. Tetapi ringgit turun dengan lebih dahsyat lagi. Apa alasan Lim?” ujarnya. – MalaysiaGazette