Home Nasional Pengunjung Kompleks Pertama cemas dengan kebakaran sebuah restoran

Pengunjung Kompleks Pertama cemas dengan kebakaran sebuah restoran

foto: Bernama

KUALA LUMPUR – “Orang ramai bertempiaran lari dan panik apabila tiba-tiba asap tebal memenuhi bahagian aras bawah bangunan ini,” kata Nawawi Nordin, 29, salah seorang pengunjung pusat beli belah Kompleks Pertama di sini yang terbakar petang tadi.

Menceritakan detik cemas itu, Nawawi berkata, ia berlaku apabila salah satu saluran asap yang terletak di bahagian dapur sebuah kedai makan di bangunan itu terbakar.

Menurutnya, kebakaran kira-kira 3.30 petang itu menyebabkan kepulan asap tebal keluar dari bahagian bumbung bangunan berkenaan serta memenuhi kawasan dalam bangunan itu.​​​​​​​

Katanya, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang membeli telefon bimbit di bangunan itu.

“Secara tiba-tiba orang menjerit yang menyatakan bangunan itu sedang terbakar sebelum asap tebal memenuhi kawasan ini. Semua yang berada di dalam bangunan itu bergegas keluar.

“Mujur ia hanya kebakaran kecil dan tidak meragut sebarang nyawa,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian di sini, hari ini.​​​​​​​

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 3.39 petang.​​​​​​​

“Seramai 40 pegawai dan anggota bomba bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa serta Sentul telah dikerah ke lokasi kejadian.​​​​​​​

“Kebakaran hanya berlaku pada bahagian saluran asap restoran itu sahaja dan kita berjaya mengawal keadaan sebelum ia merebak ke premis lain. Tiada kemalangan jiwa dan punca kejadian masih disiasat,” katanya. – Bernama