Home Nasional Derma darah: Umat Islam dituntut selamatkan nyawa orang susah

Derma darah: Umat Islam dituntut selamatkan nyawa orang susah

Penolong pegawai perubatan dan jururawat menguruskan proses pengambilan darah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Dalam Islam dituntut umatnya untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dan darah sebenarnya sangat penting untuk menyelamatkan nyawa seseorang, kata Ketua Unit Perhubungan Masjid Negara, Ustaz Khisamuddin Ismail.

Bagaimanapun, kurang kesedaran dalam kalangan orang ramai menyebabkan negara kekurangan bekalan darah dan menyedari realiti itu Masjid Negara mengambil insiatif mengadakan kempen menderma darah tiga kali setahun.

Kempen tersebut bertujuan menggalakkan umat Islam supaya lebih peka bahawa bantuan bukan semata-mata melibatkan sokongan moral dan wang namun sumbangan lain seperti menderma darat juga diperlukan untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

Khisamuddin Ismail
Khisamuddin Ismail

“Dalam Islam ini maknanya ia termasuk umumnya saling bantu-membantu dalam kebaikan dan tidak membantu kepada kerosakan atau kejahatan, jadi apabila manusia yang lain tak kira muslim atau tidak yang ditimpa musibah perlukan darah, kita bantu.

“Bantuan itu bukan semata-mata duit, bukan semata-mata sokongan moral, ia termasuklah darah ini kerana ia kritikal diperlukan kerana boleh menyelamatkan nyawa,” kata Khisamuddin yang juga penyelaras program kempen darah di Masjid Negara semasa ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Isu kekurangan bekalan darah saban tahun dihadapi negara khususnya membabitkan jenis darah tertentu, awal Januari lalu Pusat Darah Negara (PDN) merayu orang ramai menderma darah menjelang musim perayaan.

Pengarah PDN, Dr Noryati Abu Amin, berkata setiap kali cuti panjang terutama pada musim perayaan PDN berdepan masalah kekurangan bekalan darah kerana orang ramai tidak menderma.

Tanggungjawab untuk mengumpul darah sepatutnya tidak diletak atas bahu PDN sahaja, kata Khisamuddin, sebaliknya institusi agama seperti masjid dan surau juga boleh memainkan peranan dengan membuka tempat menderma darah bagi menarik umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Contohnya di Masjid Negara, jemaah sini sudah biasa cuma kalau boleh dapat lah ia digerakkan ke masjid-masjid atau surau lain, kampung atau daerah jadi di situ kesedaran akan bertambah.

“Sekarang mungkin mereka tidak sedar negara perlukan darah jadi kita kena usahakan. Jadi jabatan agama Islam negeri perlu ambil inisiatif, kita gesa untuk mereka buat kempen derma darah ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penderma, Azalina Dawami, 34, yang ditemui di Masjid Negara berkongsi pengalaman mengenai menderma darah yang dilakukannya setiap tahun, antaranya ia membantu tubuh badannya berada dalam keadaan lebih baik dan sihat.

Azlina Dawami menderma darah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MAC 2017.
Azlina Dawami menderma darah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 MAC 2017.

“Kita tidak perlu takut untuk menderma darah kerana selepas itu kita akan berasa lebih sihat dan segar.

“Kenapa saya cakap begitu, ini disebabkan apabila kita derma darah, sistem badan kita akan ganti darah kita dengan darah baharu. Ini antara sebab mengapa saya tidak takut menderma darah,” kata Azalina yang bekerja sebagai pegawai polis di Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali keempat Azalina menderma darah sejak bertugas sebagai anggota polis.

Seorang lagi penderma, Azhar Yusuf, 48, yang ditemui berkata derma darah sebenarnya membantu kita menyelamatkan banyak nyawa orang yang memerlukan tanpa disedari dan tidak perlu takut untuk menderma darah kerana ia tidak akan mengurangkan darah yang diperlukan dalam badan manusia.

Azhar Yusuf
Azhar Yusuf

“Apabila kita derma darah, kita sebenarnya menyelamatkan banyak nyawa. Kita tidak perlu takut, macam saya mula-mula takut juga tapi akhirnya sudah tujuh kali saya derma darah,” kata Azhar yang bertugas sebagai jurulatih bomba di Seputeh.

Menurut Azhar, walaupun usianya sudah 40 lebih beliau masih lagi mampu aktif bersukan dan tubuh badan yang sihat sebenarnya dibantu dengan aktiviti derma darah yang beliau sering lakukan.

“Setahun sekali saya akan derma darah. Walaupun usia saya sudah 48 tahun, saya masih boleh main bola sepak, takraw dan beraktiviti seperti biasa. Jadi siapa kata derma darah ini memudaratkan sebenarnya tidak benar sama sekali,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khisamuddin berharap untuk menggalakkan rakyat Malaysia supaya lebih peka dan sedar mengenai pentingnya aktiviti derma darah ini, disarankan supaya Kementerian Kesihatan membuat lebih banyak promosi seperti menerusi visual yang dapat menyentuh masyarakat tentang realiti sebenar.

“Pihak kementerian kena buat satu kempen realiti bahawa darah dalam negara kita semakin berkurangan, kena tunjuk satu realiti supaya orang ramai tersentuh dan ia boleh diviralkan,” katanya. – MalaysiaGazette