SHAH ALAM – Pandangan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya kerjasama UMNO dan Pas sebagai berbahaya untuk sebuah negara majmuk, adalah pandangan jumud.
Pandangan Wan Saiful Wan Jan itu disifatkan oleh Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari sebagai Melayu mudah lupa apabila mendapat pangkat menjadi pemegang dana pendidikan.
Menurut beliau, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak ubah seperti anjing menyalak bukit.
“Ingatlah saudara, setiap makhluk Allah mahupun organisasi ada tarikh luputnya.
“Kesabaran orang Melayu jangan diuji, kelak tidak dapat ditempuh bak tsunami ICERD. Bercakap biarlah berfikir jangan menjadi seperti anjing menyalak bukit.
“Apa hak kamu menuduh UMNO yang memajukan negara ini dan membantu rakyat selama 61 tahun sebagai merbahaya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Semalam, Wan Saiful menyifatkan gabungan UMNO dan Pas serta agenda kedua-dua parti itu amat merbahaya untuk negara.
Katanya, sentimen agama dan perkauman yang dibawa oleh kedua parti itu bukan langkah yang baik untuk Malaysia akan datang.
Malah katanya, gabungan kedua-dua parti orang Melayu itu akan membawa agenda tidak sihat dalam negara, sekali gus menafikan hak bahawa Malaysia adalah untuk dikongsi oleh pelbagai kaum.
Menurut Azhari, Kelantan dan Terengganu dipimpin oleh Pas, tetapi pernahkah pemimpin PPBM itu mendengar masyarakat Cina dan India ditindas hingga hidup susah di kedua negeri itu.
“Di Pahang dan Perlis ditadbir oleh Barisan Nasional (BN), pernahkah kamu terdengar orang bukan Melayu hidup menderita dari sudut ekonomi dan sosial.
“Malah, ada segelintir manusia yang menghantar posting nakal di Pahang untuk menyakitkan hati orang Melayu. Itu yang anda katakan UMNO dan Pas yang merbahaya.
“Berat sungguh tuduhan saudara. Harap ditarik balik segera sebelum ia mencetuskan keresahan antara kaum dan agama. Berfikirlah saudara. Saya menunggu,” katanya. – MalaysiaGazette