Home Nasional Pencarian nelayan hilang diperluas

Pencarian nelayan hilang diperluas

GEORGE TOWN – Operasi mencari dua nelayan tempatan yang dikhuatiri masih hilang di perairan Kuala Muda dekat Penaga, Kepala Batas di sini diperluaskan sehingga 135 batu nautika persegi.

Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pulau Pinang, setakat ini kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi diteruskan pada hari ini dengan melibatkan kekuatan jentera Kapal Maritim (KM) Tugau.

“Bot nelayan dari Pangkalan Nelayan Kuala Muda di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan oleh Maritim Negeri Pulau Pinang di Jeti Pangkalan Nelayan Kuala Muda, Pulau Pinang dengan kekuatan empat anggota. Sektor pencarian hari ini melibatkan keluasan lebih kurang 135 batu nutika persegi, ” kata APMM dalam satu kenyataan hari ini.

Dua nelayan itu dilaporkan hilang di perairan Kuala Muda dekat Penaga, Kepala Batas di sini selepas sebuah bot fiber yang dinaiki mereka tidak pulang ke jeti sejak Jumaat.

Bot tersebut yang dikendalikan nelayan, Yashir Abd Hamid bersama seorang awak-awak telah keluar dari Jeti Pangkalan Kuala Muda di sini kira-kira 4 petang Jumaat lalu, namun dilaporkan tidak pulang sehingga kini.

Sejurus aduan kehilangan diterima, Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR). – Bernama