Home Seni Hidup Jodoh saya mungkin di syurga – Heliza Helmi

Jodoh saya mungkin di syurga – Heliza Helmi

Penyanyi, Heliza Helmi semasa sesi fotografi pada Majlis Pelancaran Single Terbaru dan Pelancaran Telekung di Petak Event Space, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Penyanyi Heliza Helmi mengakui dia tidak lagi memikirkan soal jodoh biarpun usianya telah meningkat kepada angka 33 tahun pada hari ini.

Kata bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu, buat masa sekarang dia lebih selesa berserah dan berdoa agar dipermudahkan urusan bertemu calon suami.

Anak kedua daripada empat beradik itu bagaimanapun menafikan dia seorang yang terlalu memilih dalam bab jodoh.

MGF03022019_HELIZA HELMI02
Penyanyi, Heliza Helmi menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Single Terbaru dan Pelancaran Telekung di Petak Event Space, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

“Saya bukannya seorang yang memilih namun biarlah Allah swt yang memilih untuk saya dan saya hanya mampu berdoa dan berserah.

“Kalau tiada jodoh saya di dunia, mungkin saya bertemu jodoh di syurga. Cuma saya memang tidak terlalu memikirkan bab jodoh sebab kakak saya yang berusia 35 tahun belum berkahwin.

“Kalau boleh biar dia kahwin dulu kerana saya pula sibuk dengan pelbagai aktiviti dan akan ke Syria lagi dalam masa terdekat untuk menyertai misi kemanusiaan,” katanya.

Heliza ditemui majlis pelancaran Heliza Instant Telekung (HIT) di bawah jenama HelizaGuzelhive dengan kerjasama Guzelhive International Sdn. Bhd..

Pada majlis sama, Heliza turut melancarkan single terbaharu duet bersama adiknya, Hazwani Helmi berjudul Ayat-Ayat Cinta Dari Tuhan.

MGF03022019_HELIZA HELMI04
Penyanyi, Heliza Helmi (kanan) bersama adiknya, Hazwani Helmi (kiri) membuat persembahan pada Majlis Pelancaran Single Terbaru dan Pelancaran Telekung di Petak Event Space, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

Heliza kini bukan hanya aktif dalam bidang nyanyian berbentuk keagamaan, bahkan namanya juga kini cukup sinonim dengan bermacam-macam aktiviti kebajikan.

Dia sering menyertai misi kemanusiaan ke luar negara seperti Syria dan Palestin selain Palu dan Lombok di Indonesia pada tahun lalu.

Pada masa, dia tidak lupa untuk membantu kanak-kanak dan golongan yang memerlukan di dalam negara.

Tidak sekadar menyumbang tenaga dan melawat golongan terlibat, Heliza sebelum ini turut menggunakan platform perniagaan tudungnya Heliza Guzelhive sebagai ‘jambatan’ untuk merealisasikan usaha itu.

Sebahagian hasil jualan label hijab eksklusif berkenaan akan diagihkan untuk membantu pesakit jantung kronik menerusi Yayasan My Prihatin.

Menerusi telekung HIT, bagi setiap helai yang terjual, sebanyak RM5 akan disalurkan ke Tabung Myheart hasil kerjasama dengan Yayasan MyPrihatin bagi membantu kanak kanak pesakit jantung kronik daripada keluarga kurang berkemampuan.

MGF03022019_HELIZA HELMI07
Penyanyi, Heliza Helmi (kanan) bersama adiknya, Hazwani Helmi (kiri) semasa sesi fotografi pada Majlis Pelancaran Single Terbaru dan Pelancaran Telekung di Petak Event Space, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

Program Myheart adalah bertujuan membantu pesakit jantung kanak-kanak dan remaja yang berusia 17 tahun ke bawah daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapatkan pembiayaan bagi menjalankan rawatan dan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menerusi Program Myheart ini, Yayasan MyPrihatin memainkan peranan membawa pesakit tersebut ke IJN dengan menanggung segala kos yang terlibat dalam proses tersebut seperti kos logistik dan sara diri bagi membolehkan pesakit melakukan pemeriksaan kesihatan seterusnya rawatan seperti pembedahan di IJN.

Tabung ini merupakan kesinambungan kerjasama sedia ada antara Yayasan MyPrihatin dengan IJN Foundation sebelum ini.

Sumbangan ke Tabung Myheart ini boleh disalurkan menerusi akaun bank Yayasan MyPrihatin : 564801648485 (Maybank). – MalaysiaGazette