Home Seni Hidup AJL33 milik Haram

AJL33 milik Haram

Hael
Gelagat Hael Husaini bersama Dayang Nurfaizah semasa diumumkan sebagai juara pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Lagu berjudul Haram ciptaan Hael Husaini dan lirik Ezra Kong muncul juara Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) malam ini.

Kemenangan itu membolehkan lagu yang dinyanyikan Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan sebuah trofi.

MGF03022019_ANUGERAH JUARA LAGU02
Penyanyi, Hael Husaini bersama Dayang Nurfaizah membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

Naib Juara dimenangi komposer Hang Nadim, Laq, Kadok dan lirik oleh Hang Nadim dengan lagu Bunga yang dinyanyikan penyanyi Ara Johari.

Mereka menerima wang tunai RM35,000 beserta trofi.

Tempat ketiga menjadi milik lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul dan lirik ditulis oleh Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri nyanyian Misha Omar untuk menerima wang tunai RM20,000 dan trofi.

MGF03022019_ANUGERAH JUARA LAGU04
Juara, Hael Husaini bersama Dayang Nurfaizah bergambar bersama Naib Juara, Ara Johari (dua kanan), Persembahan Terbaik, Sufian Suhaimi (kiri) dan Vokal Terbaik, Misha Omar (kanan) selepas pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

Sementara itu, Misha turut berjaya memenangi kategori Vokal Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM12,000 dan trofi.

Sufian Suhaimi yang menyampaikan lagu Di Matamu penuh berkesan telah dipilih memenangi Persembahan Terbaik.

Sufian menerima wang tunai RM12,000 trofi dan sebuah telefon pintar kamera kuad, Samsung Galaxy A9.

MGF03022019_ANUGERAH JUARA LAGU20
Penyanyi, Misha Omar membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33) di Axiata Arena, Bukit Jalil. foto SYAFIQ AMBAK, 03 FEBRUARI 2019

Sementara itu, persembahan 12 finalis AJL-3 diadili 10 juri profesional pelbagai latar belakang seperti Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Manan Ngah, Helen Yap, Ajai, Lok Yu, Ly, Ag Coco, dan Adi Priyo manakala Azmeer bertindak sebagai ketua juri.

AJL33 turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Search dan DJ Fuzz serta segmen Intermission pula dibawakan khas oleh Samsung oleh penyanyi baharu seperti Sarah Suhairi, Ismail Izzani dan Nabila Razali menerusi lagu Seribu Impian.

Segmen penutuo iaitu Interlude pula dihangatkan oleh Nico, Juzzthin, Balan, Lil J, Zizi Kirana, Aman Ra, Joe Flizzow, Sonaone dan Alif.

AJL 33 masih mengekalkan gandingan hos Alif Satar dan Sherry AlHadad seperti tahun lalu. – MalaysiaGazette