Home Nasional PH semakin sukar

PH semakin sukar

Pakatan Harapan (PH) tidak memandang rendah kekuatan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata Ketua Sekretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah. 
foto: Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Perbezaan ideologi dalam Pakatan Harapan (PH) boleh meningkatkan seteru dalam kalangan gabungan parti itu sekiranya kesepakatannya semakin lemah disebabkan polisi-polisi tidak popular dan berlaku pertelingkahan dalaman.

Fitch Solutions Macro Research berkata, empat parti dalam PH  berbeza antara satu sama lain dan pada masa sama membantah model dan konsep negara.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah sebuah parti pro-Bumiputera, manakala Parti Amanah Negara (PAN) terang-terangan adalah Parti Islam.

Manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti pelbagai kaum walaupun majoritinya Melayu dan DAP pula didominasi oleh Cina.

Namun, firma penyelidikan itu berkata, PH yang bergabung untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu, telah memperlihatkan ikatan yang lemah meskipun tanpa ‘musuh biasa’ untuk mengalihkan perhatian daripada perbezaan mereka.

Ini terutama jika kerajaan terpaksa menunjukkan keutamaan kepada majoriti pengundi Melayu, ia boleh meminggirkan etnik minoriti.

Dalam nota penyelidikannya, Fitch Solutions berkata, parti gabungan lain, khususnya DAP, pula berpendapat perlunya mereka mengambil peranan untuk mengekalkan sokongan minoriti.

Perkembangan ini boleh menyebabkan perpecahan dalam kerajaan sebelum ‘jangka hayatnya’ berakhir pada tahun 2023.

Ia lebih buruk lagi apabila kerajaan baharu gagal melaksanakan janji-janji yang ditabur dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kata Fitch Solutions, PH telah mengambil pendekatan sedikit dalam menangani kenaikan kos yang menjadi platform untuk berkempen sebelum Pilihan Raya umum.

Isu itu pula kekal menjadi topik penting kepada rakyat Malaysia di tengah-tengah situasi ekonomi global yang perlahan.

Dengan politik perkauman dan agama semakin rancak, rakyat Malaysia juga kehilangan keyakinan terhadap janji-janji untuk membawa negara ke arah Malaysia Baharu dengan kesamaan yang lebih besar.

Disebabkan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan Skor Risiko Politik Jangka Pendek Malaysia kepada 72.5 peratus dengan ‘proses membuat dasar’ dan ‘polisi berterusan’ sebagai sub-komponen paling lemah, masing-masing sebanyak 68.3 dan 67.5.

Katanya, semasa PH mengambil alih kerajaan pada akhir Mei lalu, rakyat Malaysia tidak kisah untuk menerima apa juga alasan kerajaan apabila tidak mampu merealisasi janji-janjinya termasuk menghapuskan tol di seluruh negara.

Namun, apabila banyak janji-janji dimungkiri, kesabaran rakyat semakin tipis.

Keadaan semakin parah apabila PH menerima pakai dasar daripada pentadbiran BN sebelum ini, yang sebelum ini dijadikan serangan mereka, tetapi kini bertindak mempertahankannya dengan justifikasi yang lemah.

Situasi semasa ini memberi peluang kepada BN untuk memperlihatkan penipuan yang jelas dan menyumbang kepada kebangkitan semula populariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib adalah faktor utama penolakan rakyat terhadap BN dalam PRU tahun lalu tetapi beliau bangkit semula.

Bekas Perdana Menteri itu menengahkan semula keputusan, ucapan, dan tindakan pemimpin dan para Menteri PH sebelum ini.

Beliau juga telah melahirkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ini boleh meningkatkan tekanan parti PH yang berasaskan Melayu untuk menyesuaikan retorik kaum sehingga membimbangkan perjanjian dengan parti-parti lain. – MalaysiaGazette