SEMENYIH – Pertambahan penduduk di Semenyih dari semasa ke semasa namun pembangunan di kawasan tersebut tidak seiring mengikut keperluan, mengakibatkan ramai yang terkesan.
Penduduk muslim khususnya, menurut Mohd Azam Yahya, 53, memerlukan penambahbaikan Masjid Raja Muda Musa namun saiznya kini dilihat semakin sukar menampung jemaah yang bertambah.
“Banyak segi, dari segi masjid, masalah ini sekarang ini kepadatan penduduk tapi tapak dibuat masjid ada tidak dibuat.
“Masjid Semenyih tidak dibangunkan semula, sebab masjid Semenyih terlampau kritikal sebab sempit,” kata peniaga retoran itu kepada MalaysiaGazette.
Menetap dan menjalankan perniagaan lebih 20 tahun di situ, Mohd Azam menambah, masalah jalan adalah yang paling utama dihadapi penduduk di situ.
Menghala ke Seremban, berhadapan McDonald (Lot 1809, Batu) kata beliau, struktur jalan yang lorongnya mengecil membahayakan pemandu sehingga mengakibatkan seringkali berlaku kemalangan kawasan tersebut.
“Di depan McDonald, jalan daripada dua lorong kepada satu lorong, bahaya sebab ia menurun, banyak kemalangan yang berlaku di situ,” katanya lagi.
Walaupun berhadapan dengan masalah-masalah ini, namun menurut beliau tiada seorang pun menteri atau individu yang bertanggungjawab berusaha untuk membantu mereka apatah lagi sejak Pakatan Harapan mengambil alih Mei tahun lalu.
Seperti sebelum ini tinjauan MalaysiaGazette yang mendapati penduduk bersuara mengenai pembinaan jambatan yang terbantut, Mohd Azam juga tidak lari daripada mengeluh mengenainya.
“Kita dulu menyokong Pakatan Harapan supaya dapat suatu yang terbaik tapi sekarang ini yang kita tengok isu jambatan pun tak dapat diselesaikan dengan baik.
“Tidak ada setakat ini siapa-siapa yang datang,” tambahnya.
Senada dengan Mohd Azam, demikian jugalah yang disuarakan oleh Ramanan a/l Ayahoo yang telah 25 tahun tinggal di Semenyih.
Kampung halamannya itu kini semakin dihimpit dengan kesesakan lalu lintas yang membimbangkan di beberapa kawasan. katanya.
“Masalah sesak terlampau teruk, daripada jalan besar nak keluar Seremban di McDonald nampak macam tiga lorong, tapi sebenarnya mengecil kepada satu lorong.
“Tempat tu memang selalu sesak, kadang-kadang kemalangan pun banyak jugak di sana, masalah itu saya tidak tahu kenapa tidak diselesaikan sudah lama tiga tahun lebih,” kata Ramanan.
Orang lama seperti N C Keong, 75 pula melihat Semenyih kurang ‘disolek’ untuk menarik perhatian orang luar.
Akhirnya kata warga emas itu, pekan tersebut kelihatan ‘tidak bermaya’ kerana tidak dibangunkan.
“Dulu selepas jam 11 malam masih ramai orang sekarang tidak lagi, lebih jam 10 malam sudah tutup kedai, tiada orang. Ada yang kata perniagaan tak dapat tahan (bertahan),” ujarnya. -MalaysiaGazette