KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan agar tidak memandang ringan soal menjaga hubungan antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun kini rakyat Malaysia bertuah kerana masih dapat meraikan pelbagai perayaan termasuk Tahun Baru Cina dengan penuh harmoni dan aman, namun keadaan mungkin tidak sentiasa begitu.
Ini kerana, katanya, ada pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian ini untuk tujuan tertentu, sehubungan itu semua pihak diharap tidak membiarkan diri mereka terhasut dengan perkara sebegitu.
“Di dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum, agama, kita dapat meraikan kepelbagaian ini, dengan penuh keharmonian dan keamanan. Ini merupakan satu perkara yang biasa bagi kita.
“Tetapi ia tidak sentiasa begitu. Menjaga hubungan antara rakyat berlainan kaum dan agama, budaya, bukanlah satu perkara yang mudah dan kita tidak boleh pandang ringan perkara ini,” katanya dalam video perutusan Tahun Baru Cina yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.
Video berdurasi dua minit itu disiarkan di laman Youtube rasmi perdana menteri, Chedet Official hari ini.
(https://www.youtube.com/watchv=HdB3mIQ8rpE&feature=youtu.be)
Sehubungan itu, Dr Mahathir menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama berikrar untuk saling menjaga keharmonian, kestabilan dan keamanan di negara ini.
Dr Mahathir turut berharap seluruh rakyat dapat meneruskan tradisi mengunjungi rumah terbuka rakan dan taulan sempena sambutan Tahun Baru Cina esok.
“Ambillah peluang ini untuk kukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kita rakyat Malaysia. Sekali lagi, saya serta isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali) mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Gong Xi,” katanya.
Perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini disambut pada 5 dan 6 Feb, yang akan diraikan selama 15 hari sebelum berakhir dengan Perayaan Chap Goh Mei yang juga dikenali sebagai Hari Kekasih versi masyarakat Cina.- BERNAMA