WASHINGTON – Program nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara masih kekal utuh dan negara itu sedang memastikan keupayaan senjata-senjata itu tidak dimusnahkan.
Laporan untuk Jawatankuasa Sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dilihat oleh Reuters menjelang pertemuan antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada akhir bulan ini.
Ia adalah pertemuan kali kedua selepas bertemu di Singapura pada Jun tahun lalu.
Laporan itu turut “menemui bukti trend yang konsisten bahawa Korea Utara telah menyebarkan lokasi himpunan, penyimpanan dan ujian,” dengan menggunakan singkatan nama rasmi Republik Demokratik Rakyat Korea.
“Negara itu terus menentang resolusi Majlis Keselamatan melalui peningkatan besar dalam pemindahan kapal-ke-kapal produk petroleum dan arang batu secara haram,”.
“Pelanggaran ini menyebabkan sekatan terbaru PBB tidak berkesan,” menurut laporan tersebut.
Pemantau berkata, mereka mempunyai keterangan pemindahan produk petroleum yang dilarang sebelum ini melebihi 57,600 tong, bernilai lebih daripada AS$ 5.7 juta.
Majlis Keselamatan PBB telah sebulat suara meningkatkan sekatan ke atas Korea Utara sejak 2006 dalam usaha membatasi dana program peluru berpandu nuklear dan balistik Pyongyang, mengharamkan eksport termasuk arang batu, besi, timah, tekstil dan makanan laut, import minyak mentah dan produk petroleum ditapis. – MalaysiaGazette