Home Utama Jaga keluarga, hormati ibubapa, pesan Sultan Ibrahim

Jaga keluarga, hormati ibubapa, pesan Sultan Ibrahim

“Jaga keluarga dan hormati ibu bapa”, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah, sebagai nasihat peribadi baginda, ketika berangkat ke rumah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Batu itu, di sini pagi ini.

JOHOR BAHRU – “Jaga keluarga dan hormati ibu bapa”, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, kepada Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah, sebagai nasihat peribadi baginda, ketika berangkat ke rumah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Batu itu, di sini pagi ini.

“Baginda ada menasihati supaya menjaga keluarga baik-baik, kena hormat ibu bapa.

“Dalam perbualan kami, baginda ada menyebut, kadang-kadang orang muda ni, dia tidak mahu merayakan Tahun Baru Cina dengan ibu bapa. Ada yang makan besar semalam, hari ini sudah pergi bercuti luar negara,” kata Puah ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Puah, baginda juga ada menyatakan kebimbangannya mengenai trend berkenaan yang disifatkan semakin meningkat dan bukanlah satu trend yang bagus untuk diikuti terutamanya bagi generasi muda.

“Baginda bertitah Tahun Baru Cina adalah masa meluangkan masa untuk keluarga, dalam perbualan kami ada menyebut bagaimana kita perlu mengekalkan tradisi dan hormat ibu bapa,” kata Puah, yang berkongsi intipati perbualan dengan baginda ketika kunjungan berkenaan.

Ketika santapan, Sultan Johor yang turut ditemani Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dalam kunjungan baginda sempena Tahun Baru Cina itu, turut dihiburkan dengan persembahan alat muzik zither.

Selain Puah dan isteri Ophelia Cheng, turut sama-sama menyertai baginda berdua adalah Setiausaha Kerajaan negeri Johor Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Liow Cai Tung serta kira-kira 40 ahli keluarga Puah.

Selain itu, baginda juga berkongsi visi baginda terhadap negeri Johor, antaranya Johor terus makmur, ekonomi boleh berkembang dan rakyat semua gembira.

“Macam contoh Yang Berhormat Liow (pelancongan), baginda sebut boleh tarik lebih ramai lagi pelancong ke Johor, kita banyak budaya, dan saya (pula pelaburan) kena fikir bagaimana tarik lebih banyak pelaburan supaya ekonomi Johor jadi pesat.

“Bila ekonomi bagus, rakyat akan hidup lebih baik,” tambah Puah.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang berpakaian serba merah, tiba di Senibong Cove, kira-kira 9 pagi.

Ketibaan Baginda dan Permaisuri Johor itu disambut Puah dan isteri, diikuti dengan persembahan tarian Singa dan paluan gendang.

Baginda berdua kemudiannya bersama-sama Puah dan Liow, menggaul hidangan Yee Sang yang merupakan tradisi masyarakat Cina setiap kali menyambut tahun baru.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudiannya bergambar kenangan bersama keluarga Puah sebelum memulakan santapan.

Baginda berdua meluangkan masa lebih sejam di kediaman berkenaan sebelum berangkat pulang.

— BERNAMA