SEMENYIH – Generasi muda di kawasan ini melahirkan rasa tidak puas hati ekoran peluang pekerjaan di sini didakwa dibolot oleh warga asing.
Tidak kira restoran, kilang, pasar raya, pejabat mahu pun kedai-kedai, rata-rata anak muda yang ditemui Malaysia Gazette mendakwa kesemua premis berkenaan dikuasai oleh orang luar sebagai pekerja sehingga menutup peluang buat kepada mereka.
Malah, fenomena yang berlaku di Semenyih apabila adanya kebanjiran warga asing terutama warga Bangladesh dan Myanmar dibimbangi akan menyebabkan anak-anak tempatan di kawasan berkenaan merempat di tempat sendiri.
Seorang anak tempatan, Pengiran Khairul Qayyum Ag Omar, 26, risau sekiranya masalah kebanjiran warga asing tidak diatasi akan menyebabkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini khususnya kepada generasi muda.
Ini kerana, kehilangan peluang pekerjaan buat mereka akan menyebabkan tekanan sekaligus mendorong kepada perbuatan yang tidak sewajarnya seperti mencuri.
“Kita tak naklah lihat perkara seperti itu berlaku. Tetapi jika tidak diatasi ia mungkin akan terjadi.
“Semuanya kerana gara-gara tidak ada kerjaya buat mereka dan peluang hanya diberikan kepada orang luar.
“Pihak-pihak yang berkenaan kena bertindak terhadap hal ini dan wakil rakyat juga tidak boleh lepas tangan mengenainya,” katanya.
Bagi Ku Kamarul Adha Sabaruddin, 24, pula bersetuju dengan pandangan Khairul apabila mahu majikan tidak terlalu menjinakkan warga asing untuk digajikan sebagai pekerja mereka.
Katanya, sikap majikan yang dengan mudah mengambil pekerja asing tanpa memikirkan peluang itu sepatutnya diberi kepada rakyat tempatan telah menyebabkan berlakunya pengangguran.
“Saya hairan seolah-olah tidak ada pemantauan dibuat oleh wakil rakyat di sini. Mereka ini (warga asing) seolah-olah menjadikan Semenyih seperti kampung mereka sendiri.
“Mereka dengan mudah dapat kerja sedangkan kami di sini orang tempatan berada dalam posisi sebaliknya,” ujarnya.
Sementara itu, Nurin Haziqah Baharuddin, 21, masalah utama yang melibatkan pekerjaan di Semenyih ialah kurangnya bidang-bidang kerjaya yang sesuai untuk anak-anak tempatan khususnya lepasan universiti.
Ujarnya, perkara itu perlu diperhalusi oleh wakil rakyat kerana mereka juga bertanggungjawab terhadap isu-isu yang melibatkan golongan muda seperti kekurangan bidang dalam pekerjaan.
“Macam saya ini yang sekarang sedang menunggu untuk mendapat ijazah. Bidang yang sesuai untuk saya ceburi bagi mendapatkan pengalaman tidak ada di sini.
“Ditambah pula dengan masalah warga asing yang memonopoli pekerjaan sememangnya terhadap.
‘Bagaimana kami orang muda nak meneruskan kelangsungan hidup kalau ini semua tidak diambil peduli,” ujarnya. – MalaysiaGazette