Home Seni Hidup Elizad tertekan dengan topik anak

Elizad tertekan dengan topik anak

Gambar ketika Elizad menunaikan umrah 11 Januari yang lalu.

KUALA LUMPUR – Pelakon cantik manis, Elizad atau Siti Elizad Mohamad Sharifuddin mengaku tertekan dengan soalan tentang anak terhadapnya.

Pelakon berusia 35 tahun setelah empat tahun mendirikan rumah tangga itu turut mendedahkan tersentuh dengan sindiran mahupun gurauan tentang anak kepadanya dan suami Shamsul Baharin Rahman, 47.

“Pada awal perkahwinan, saya masih senyum dan menganggap setiap pertanyaan sebagai doa, tetapi kini saya terasa ia seperti sindiran.

“Kadang-kadang, saya terasa juga apabila ada yang bercerita soal anak… Tidak perasankah saya berada di situ? Saya jadi sensitif dengan situasi sebegitu. Apabila melihat wanita mengandung pula, saya tertanya-tanya, kenapa bukan saya yang berbadan dua?

“Apa sahaja yang saya inginkan selama ini, semuanya dalam genggaman. Namun, permintaan yang satu ini nyata bukan kerja kita, biarpun sudah berusaha sedaya yang ada.

“Saya lebih tertekan apabila ada yang melemparkan tanggapan saya tidak berusaha mendapatkan anak, sedangkan sudah lama berkahwin,” katanya dipetik sebagai berkata.

Tidak pernah menolak rezeki anak mahupun merancang, Elizah sebaliknya mendedahkan sentiasa sentiasa berusaha dengan mendapatkan rawatan kesuburan dan tradisional sejak dulu lagi.
Namun malangnya ramai yang menganggapnya tidak berminat untuk hamil.

“Asakan orang sekeliling membuatkan saya tertekan. Sindiran mereka membuatkan saya amat terasa.

“Saya dididik untuk bercakap dengan menjaga hati orang, biarpun saya seorang yang kelihatan lasak dan kasar.

“Apabila bergurau atau bertanya soalan, saya tidak sesuka hati membalas balik. Bagi saya, lebih baik mereka mendoakan saya daripada menyindir.

“Ia bukan perkara melucukan apabila membuat sindiran di depan orang ramai.

“Suami turut mendengar sindiran terbabit. Saya ajak suami balik kerana tidak mahu menunjukkan muka tidak manis,” katanya.

Juara program realiti, Gempak Superstar memberitahu pernah menangis ketika beraya di rumah sanak saudara pada Aidilfitri lalu kerana disindir belum mempunyai anak walaupun telah lama mengandung.

“Pada hari raya lalu, saya beraya di rumah sanak saudara. Secara kebetulan, ada saudara lain yang tidak dikenali di sana.

“Mereka menyindir dengan mengatakan saya sudah lama berkahwin, tetapi tidak mahu anak, sambil memegang perut saya. Mereka kata, saya memiliki segala-galanya, namun tiada anak,” ujarnya lagi.

Januari yang lalu ketika menunaikan umrah, Elizad memuatnaik gambarnya dengan seorang kanak-kanak perempuan dengan kapsyen yang menyentuh perasaan apabila memohon agar dikurniakan cahaya mata.

Katanya, dapat menjadi ibu kepada seorang anak sahaja pun sudah memadai. – MalaysiaGazette