KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, drama di Tv3 bertajuk Pujaan Hati Kanda menampilkan salah seorang watak antagonis Syazwan Zulkifly.
Lama juga Syazwan sebelum ini tidak kelihatan di kaca tv sehinggakan ada yang bertanya adakah pelakon 32 tahun ini telah menamatkan kariernya.
“Hikmahnya, saya menerima tawaran berlakon Pujaan Hati Kanda, selepas kira-kira 10 bulan tiada tawaran drama bersiri.
“Saya bukannya tiada kerja langsung, sebaliknya masih menerima tawaran berlakon telefilem. Sebulan, hanya satu projek, kerja pula tujuh hari sahaja. Selebihnya, saya hanya duduk termenung di rumah. Jujurnya, itulah saat paling sukar buat saya sejak menjadi pelakon kira-kira lapan tahun lalu.
“Selalunya, saya akan berlakon sekurang-kurangnya empat drama bersiri dalam setahun, tetapi sekarang nak dapat satu drama bersiri pun susah.
“Pujaan Hati Kanda adalah drama bersiri pertama saya bintangi, tahun lalu. Saya bersyukur Allah menghadirkan watak Pali untuk mengukir nama saya kembali,” katanya.
Pelakon Juvana itu menambah tidak pernah membayangkan 74 babak yang dilakonkan dalam Pujaan Hati Kanda mampu menaikkan kembali namanya.
“Dalam drama ini, heronya Remy Ishak. Saya hanya berlakon sebanyak 74 babak. Siapa jangka nama saya akan menjadi bualan?
“Saya rasa seperti ‘mati hidup semula’ apabila watak Pali menjadi ‘trending’ dan dibenci ramai. Watak itu lain daripada yang lain,” tambahnya.
Drama bersiri Pujaan Hati Kanda yang menggandingkan Remy Ishak dan Mira Filzah meraih jumlah tontonan terkumpul 12 juta sejak disiarkan TV3 pada 20 Disember lalu.
Malah, episod akhir yang menemui khalayak pada Isnin lalu diikuti kira-kira lima juta penonton, selain meraih 30 juta tontonan menerusi platform, YouTube @TV3Malaysia.
Pelakon ini pernah mencetuskan kontreversi apabila didakwa memukul bekas teman wanitanya pada November 2015.
Setelah itu dia mendedahkan namanya ditolak oleh sebuah stesen televisyen untuk terlibat dalam sebuah drama.-MalaysiaGazette