SHAH ALAM – Mengambil kesempatan sempena perayaan Tahun Baru Cina, tujuh peniaga dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Perkara itu dikesan sepasukan 60 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor yang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di premis perniagaan di negeri ini pada hari pertama perayaan berkenaan.
Kesalahan kesemuanya adalah tidak meletakkan tanda harga (tiga peniaga) manakala selebihnya menggunakan alat timbang tamat tempoh.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, pemeriksaan bertujuan memastikan bekalan barangan asas mencukupi bagi kegunaan pengguna, terutama ketika cuti umum.
“Kita mahu peniaga mematuhi harga siling ditetapkan ke atas 13 jenis barangan harga terkawal bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SKHMPTBC).
“Premis perniagaan yang diperiksa bermula jam 8 pagi itu antaranya pasar utama, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong.
“Hasil pemeriksaan ke atas 397 premis semalam, tujuh peniaga didapati melanggar peraturan ditetapkan dan dikenakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,000,” katanya. – MalaysiaGazette