KUALA LUMPUR – Khabar angin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tahun Baharu Cina sengaja ditimbulkan untuk mencetuskan ketegangan dalaman Pakatan Harapan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipersetujui bakal menduduki jawatan nombor dua negara itu berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR itu sendiri tidak pernah menyuarakan isu rombakan Kabinet akan berlaku.
“Saya ingat tadi perdana menteri dah jelaskan tak usahlah layan sangat khabar-khabar angin.
“Saya pergi tengok dia (Azmin) selepas pembedahan tadi, keadaan okay, perkara ini tak berbangkit pun oleh dia, oleh sesiapa.
“Ia sengaja dihangatkan untuk menimbulkan ketegangan,” kata anggota Parlimen Port Dickson itu kepada pemberita selepas menghadiri Seminar membincangkan isu Pemikiran Islam Semasa Dan Prospek Untuk Reformasi Masyarakat: Perspektif Geo-Budaya di Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC).
Semalam, laporan sebuah blog mendakwa Azmin bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Tahun Baharu Cina.
Menurut blog itu lagi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga didakwa telah memberikan pelbagai tugas penting kepada Mohamed Azmin.
Ia termasuk sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.
Bagaimanapun, perdana menteri hari ini menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan pentadbirannya akan kekal dengan Kabinet yang sedia ada selepas PRU-14 yang lalu. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Tiada rombakan Kabinet – Dr Mahathir