ISTANBUL – Sebuah blok apartmen lapan tingkat runtuh di bandar ini menyebabkan dua orang maut.
Pasukan penyelamat setakat ini berjaya mengeluarkan enam mangsa yang terperangkap.
Bangunan itu didiami oleh 43 orang dalam 14 apartmen, menurut Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya.
Menurutnya, bangunan berkenaan mempunyai satu tingkat bawah dan tujuh tingkat atas tetapi memaklumkan tiga tingkat di atas dibina secara haram.
Setakat ini tidak diketahui jumlah mangsa yang terperangkap.
Namun, difahamkan pasukan penyelamat berjaya menghubungi empat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Bekas Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim berkata, pasukan penyelamat sedang bersaing dengan waktu dalam memastikan mangsa-mangsa yang terperangkap dapat dikeluarkan dengan selamat.
Beliau yang akan bertanding merebut jawatan Datuk Bandar Turki menambah, pasukan penyelamat akan bekerja tanpa henti sehingga operasi selesai.
Bangunan yang berusia 27 tahun itu terletak di daerah Kartal, bahagian Asia pada pukul 4 petang waktu Turki.
Runtuhan yang berlaku itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk yang tinggal berdekatan buat sementara waktu. – MalaysiaGazette