BANGI – Tidak pernah wujud erti ‘sakit’ dalam kamus hidup Zatul Hejanah Abdulila biarpun beliau kini mengidap kanser payudara tahap empat.
Bukan itu sahaja, wanita gigih ini mengharungi satu lagi cabaran apabila dikurniakan anak istimewa palsi serebral (CP).
Bagi Zatul Hejanah, anak istimewa mendorong beliau untuk terus kuat dan mengetepikan rasa sakit yang ditanggung selama ini lantaran sedar betapa golongan itu amat memerlukan sokongan.
Puterinya, Dalili Sofiya Zulfikri yang lebih mesra dipanggil Oya dikesan mengalami gangguan saraf sejak lahir.
Meskipun anak keduanya itu kini berusia 12 tahun, namun perkembangan otaknya adalah pada usia enam tahun dan memerlukan lebih perhatian dari segi pembelajaran serta keperluan psikologi
“Oya adalah sumber kekuatan saya dan melihat wajahnya membuatkan saya lupa akan kesakitan yang ditanggung. Jika berlaku sesuatu kepada saya, saya berharap keluarga termasuk masyarakat dapat menjaga Oya sebaik mungkin.
“Impian saya adalah untuk melihat masyarakat tidak mengasingkan anak CP ini selain berharap peluang pendidikan diberikan secara sama rata seperti anak-anak lain supaya kami sebagai ibu bapa tidak bimbang masa depan mereka,”katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP) percaya sokongan perlu wujud dalam apa jua bentuk kerana cabaran terbesar memelihara anak CP adalah untuk memenuhi keperluan asas dan menyediakan kemudahan mengikut kesesuaian mereka.
Kesemuanya itu bagi membantu kanak-kanak tersebut mencapai potensi yang optimum.
“Kesedaran rakyat Malaysia mengenai CP sangat rendah sehingga wujud pelbagai persepsi negatif kepada golongan ini. Walaupun bahagian otak anak CP yang cedera tidak boleh dirawat, tetapi bahagian otak lain boleh dilatih untuk mengambil alih fungsi otak yang cedera.
“Rawatan awal untuk pemulihan dapat mengurangkan komplikasi CP dan berkemungkinan membolehkan individu CP lebih berdikari serta mempunyai kualiti hidup lebih baik pada masa hadapan. Ini termasuk terapi, rawatan alternatif dan penggunaan peralatan rehabilitasi serta alat bantuan lain,” katanya.
Zatul Hejanah berkongsi pengalaman tentang penjagaan anak istimewa itu yang menurut beliau adalah perjalanan seumur hidup bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal dan mental malah kewangan yang kukuh.
“Kos perubatan untuk anak CP mencecah 10 kali ganda berbanding anak normal,”katanya.
Baru-baru ini, satu konsert amal ‘Art of Music’ anjuran sekumpulan siswazah Pengurusan Perniagaan (MBA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Graduate School of Business (UKM-GSB) diadakan bertujuan mengumpul dana menerusi jualan tiket yang disumbangkan kepada MyCP.
Dekan UKM-GSB, Prof. Madya Dr. Puan Yatim berkata, konsert amal dengan kerjasama Pusat PERMATApintar® Negara, UKM ini juga dianjurkan bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai CP.
“45 persembahan diadakan dalam masa tiga jam tanpa henti selain selingan perkongsian maklumat mengenai CP, Art of Music ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan penonton selain memberi nilai tambah kepada peserta yang membuat persembahan,” katanya.
Kemuncak persembahan adalah penampilan kanak-kanak yang menghidap CP yang menunjukkan bakat masing-masing dengan bercerita, menyanyi dan menggerakkan tubuh badan. – MalaysiaGazette