Home Nasional Kajian holistik sebelum gubal undang-undang hukum abai ibu bapa – TPM

Kajian holistik sebelum gubal undang-undang hukum abai ibu bapa – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman (tengah) meluangkan masa dengan beramah mesra dengan salah seorang kanak-kanak istimewa, Muhammad Adam Wafiq Mohd Izwanie selepas melancarkan Tasputra Perkim di Lingkungan U-Thant, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini dalam peringkat kajian secara holistik dan diagnostik  mewujudkan undang-undang menghukum anak yang mengabai dan mendera ibu bapa.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, adalah tidak adil seandainya menggubal undang-undang yang hanya bersifat menghukum semata-mata tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian terlebih dahulu.

Kata beliau yang juga merupakan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, selain daripada memberi bebanan tambahan kepada kerajaan dengn hukuman penjara, aspek yang menyelubungi rakyat juga perlu diperhalusi.

“Dulu dan kini sebenarnya lain, sebelum kita gubal dasar atau undang-undang yang lebih ketat khasnya seperti isu mengabaikan golongan warga emas oleh anak-anak mereka perlu kita kaji dulu.

“Kita juga perlu lihat dari sudut anak-anak mereka yang mungkin tidak berkemampuan menjaga ibu bapa mereka, ada juga yang tertekan dengan ekonomi serta kehidupan berkeluarga mereka sendiri.

“Dulu lain, masing-masing boleh mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa masing-masing, ada ‘extended family’. Kini masa sudah berubah, kita perlu juga lihat semua aspek itu, kita kini sedang lakukan kajian berhubung perkara itu dengan holistik dan mendalam.

“Kita prihatin dan peka dengan isu ini tapi tidak boleh terburu-buru juga, perlu pendekatan model lebih diagnostik dan holistik, saya masih belum berkesempatan melihat keputusan kajian atau apa-apa pemndekatan telah di ambil lagi tetapi kajian sedang di jalankan.

“Undang-undang berkaitan isu pengabaian warga emas tidak akan digubal atau diperbaiki dasar sedia ada sebelum sebarang kajian menyeluruh di jalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pusat asuhan kanak-kanak cacat Tasputra Perkim di Jalan Ampang hari ini.

MGF07022019_TPM RASMI TASPUTRA09
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menurunkan tandatangan sambil diiringi Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Tasputra Perkim di Lingkungan U-Thant, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 FEBRUARI 2019.

Wan Azizah mengulas kenyataan Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh baru-baru ini mengenai rundingan dengan kumpulan sasar seperti wakil warga emas, keluarga, komuniti, ahli akademik serta kementerian dan agensi kerajaan berkaitan akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, berdasarkan kajian Universiti Malaya (UM) mengenai inisiatif melindungi warga emas daripada penderaan dan pengabaikan atau Prevent Elder Abuse and Neglect Initiative (PEACE), penggubalan akta khusus boleh melindungi hak asasi warga emas dengan lebih menyeluruh.

“Kementerian sedia meneliti cadangan mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas bagi melindungi kebajikan dan hak asasi golongan terbabit, termasuk perlindungan daripada pengabaian dan penderaan,” kata Hannah.

Jelas Wan Azizah lagi, ketika ini belum ada sebarang akta untuk melindungi warga emas di Malaysia secara khusus.

“Kita ada undang-undang berkaitan mengikut Kanun Keseksaan dan undang-undang itu sedang digunakan ketika menangani sebarang kes membabitkan kes-kes pengabaian dan penderaan seperti ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), P Waythamoorthy mahu cadangan mewujudkan undang-undang hukum anak yang abai dan dera ibu bapa juga dikaji dengan terperinci terlebih dulu sebelum dilaksanakan.

Kata Waytha, cadangan untuk mewujudkan undang-undang baru perlu dikaji dengan terperinci dan hanya jika ada keperluan terdesak, baru boleh laksanakan. –MalaysiaGazette