INDONESIA – Seorang wanita warga negara British dipenjara enam bulan di Indonesia atas kesalahan menampar pegawai Imigresen negara itu.
Wanita itu disabit melakukan kesalahan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali.
Auj-e Taqaddas, 42, didakwa menjerit dan menyumpah seorang pegawai lelaki setelah ditegur mengenai dokumen visa yang tamat tempoh.
Wanita itu disabitkan kesalahan bertindak kasar terhadap pegawai bertugas apabila memaki hamun dan menampar pegawai itu di muka sambil cuba merampas pasportnya daripada pegawai berkenaan.
Wanita itu kini dipenjara enam bulan namun dia mendakwa hukumannya tidak adil.
Taqaddas didakwa tinggal di Bali melebihi tempoh yang dibenarkan visa sekitar 160 hari.
Apabila disuruh membayar denda AS$3,500 (RM14,000), wanita itu bertindak merakamkan arahan pegawai Imigresen dalam telefon bimbitnya secara biadab.
Ketika di mahkamah, wanita itu menuduh pendakwa raya menderanya dan memaksa tinggal di negara itu, sebelum kenyataan itu dinafikan sekeras-kerasnya.
Taqaddas juga memfailkan rayuan sebagai mencabar hukuman penjara itu.- MalaysiaGazette