KUALA LUMPUR – Karakter, kualiti, kebebasan hakim untuk membuat penghakiman akan meningatkan keyakinan rakyat terhadap mahkamah terutama di dalam dunia yang sangat mencabar ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, seseorang hakim perlu berani di dalam membuat penghakiman yang adil.
Ini penting bagi memastikan rakyat menghormati badan kehakiman iaitu sebuah badan tertinggi dan adil tanpa pengaruh dari mana-mana pihak.
“Hakim-hakim berada di situ bukan senang-senang untuk membuat keputusan terhadap sesuatu kes sahaja sebaliknya mereka membuat keputusan terhadap apa yang mereka fikirkan kes tersebut sepatutnya diputuskan menerusi semangat keadilan dan kesaksamaan sebenar.
“Melakukan sesuatu yang betul adalah tugas paling utama seseorang hakim. Kita berada di dalam tempoh masa yang mencabar yang mana institusi-institusi kita sedang berada di bawah ancaman.
“Dengan itu, amatlah penting bagi memastikan rakyat memandang badan kehakiman sebagai satu badan tertinggi dan adil.
“Lebih dari itu, kita memerlukan hakim-hakim yang adil dan berfikiran terbuka untuk menanam keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman yang selamanya akan melindungi hak, kepentingan serta kebebasan semua pihak,” titahnya semasa menyampaikan ucapan pelancaran buku Justice Above All: Selected Judgements of Tun Arifin Zakaria With Commentaries di sini hari ini.
Titah Sultan Nazrin, badan kehakiman perlu memastikan proses keadilan selari dengan peraturan dan undang-undang kerana ia merupakan intipati serta prasyarat untuk melindungi hak rakyat dan politik serta memastikan urus tadbir yang baik.
Ia juga akan menyediakan asas kepada pengukuhan ekonomi dan perkembangannya.
Titah baginda, adalah penting untuk memastikan sistem kehakiman kita adil dan sine qua non (suatu keadaan yang paling penting dan mutlak) dengan mengekalkannya sebagai sebuah badan yang efisyen.
“Sejajar dengan perkembangan ekonomi dan masyarakat, progres sedang dilakukan untuk mengukuhkan badan kehakiman negara yang semakin matang dengan meningkatkan integriti badan kehakiman di dalam membuat keputusan.
“Dengan itu, beta kembali kepada persoalan awal tadi, apakah yang menjadikan penghakiman sesuatu yang hebat?
“Beta percaya, penghakiman yang hebat adalah apabila pembuat keputusan benar-benar faham bahawa beliau merupakan penjaga kepada Peraturan Undang-Undang dan kesetiaannya terhadap prinsip tersebut tidak berbelah bahagi lagi,” titah baginda.- MalaysiaGazette