Home Nasional ‘Malu apa bossku’ bukan strategi UMNO

‘Malu apa bossku’ bukan strategi UMNO

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan bercakap pada program Bicara Minda anjuran Sinar di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Kemunculan Datuk Seri Najib Razak dengan membawa slogan ‘Malu apa bossku’ bukanlah sebahagian daripada strategi UMNO.

Sebaliknya, penampilan sebegitu oleh bekas perdana menteri tersebut di laman sosial adalah kerana peribadi dan dirinya sendiri, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Datuk Najib dengan gaya dia, apa masalah? Dia bukan atas platform UMNO, dia platform sendiri. Malu apa bossku suka hati dialah.”

“Dan saya yakin ini merupakan satu perkara yang baik dilakukan oleh beliau untuk bersama-sama menyatukan balik orang Malaysia supaya tak berpecah,” katanya pada sidang media selepas penganjuran sebuah forum di sini hari ini.

Mohamad Hasan berkata, tindakan mesra media sosial Najib itu dilihat sebagai tambah nilai kepada perjuangan UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah katanya, walaupun tindakan Najib itu atas kapasiti peribadi dan bukan UMNO, beliau terbuka menerima khidmat tersebut.

Sementara itu, Mohamad Hasan menegaskan, UMNO tidak mempergunakan Najib pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands termasuk menjelang PRK Semenyih.

“Saya tak guna perkataan mempergunakan. Di Cameron Highlands, UMNO dan BN tidak jemput beliau tapi dia dijemput oleh warga Felda dan Persatun Tok Batin.

“Kita tak jemput tapi dia dijemput dan dialu-alukan oleh warga Felda yang minta dia datang ke Felda. Tok-tok batin yang mengenali beliau minta beliau kerana jasanya banyak.

“Mangsa tanah runtuh, dia gantikan dengan membuat rumah cantik. Jangan cepat cemburu hati. Tapi bagi saya selaku ketua parti saya amat mengalu-alukan apa sahaja yang boleh menambah nilai,” ujarnya. – MalaysiaGazette