KUALA LUMPUR – Pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh telah melakukan lawatan konsular terhadap tahanan warga Malaysia yang ditahan di Kemboja bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik.
Kementerian Luar yang mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja berkata, makluman mengenai perkara itu hanya diterima secara lisan polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.
Katanya, mereka ditahan di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember lalu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram dalam talian.
“Berikutaan makluman penahanan itu, pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh gelah melakukan lawatan konsular terhadap tahanan selepas menerima maklumat yang lebih terperinci dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan rayuan Zunita Sedini hari ini yang memohon bantuan kerajaan untuk membawa pulang anak sulungnya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana dipercayai ditipu sindiket pemerdagangan manusia.
Zunita berkata, anaknya yang baharu habis menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga US$1,500 (lebih RM6,000), namun semuanya hanya sandiwara apabila setibanya di Kemboja mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan.
Menurut Kementerian Luar, para pegawai kedutaan telah berjumpa dengan para pegawai penjara dan hakim dalam kes tersebut.
“Kedutaan Malaysia di Phnom Penh telah membawa perkara ini ke pengetahuan Kementerian Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja menerusi Nota Diplomatik untuk membebaskan tahanan itu,” tambahnya.
Jelas Kementerian Luar, pihaknya akan memantau kes itu dan bersedia untuk memberi bantuan konsular yang sewajarnya. – MalaysiaGazette