
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini didakwa semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan sama dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.
Najib, 66, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tambahan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Beliau sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.
Bagi tiga pertuduhan tambahan itu, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas tiga pertuduhan pindaan pengubahan wang haram selepas kesemua pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
“Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan tanpa sebarang cagaran dan sebutan semula kes 8 Mac di Mahkamah Seksyen Jenayah 9,” demikian menurut Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berkata pihak pendakwaan telah melakukan kesilapan atas pertuduhan terhadap anak guamnya.
“Tuduhan yang digugurkan semalam, dibacakan semula hari ini sebab Peguam Negara sedar bahawa mereka telah membuat kesilapan dalam prosiding tersebut.
“Mereka tidak faham akan undang-undang tersebut sebab semua pertuduhan mesti dibawa ke Mahkamah Sesyen dan baru boleh dipindahkan ke mana-mana mahkamah,” katanya kepada media di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Pihak pendakwaan diketuai oleh Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Manoj Kurup.
Mahkamah menetapkan 8 Mac depan untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan untuk membicarakan kesemua kes berkenaan.
Hakim bagaimanapun tidak menetapkan sebarang cagaran bagi kes ini.
Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa dengan tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sehingga hari ini, Najib didakwa untuk kali keenam di mahkamah dengan 42 tuduhan. -MalaysiaGazette