Home Nasional Lelaki maut kena tetak

Lelaki maut kena tetak

Polis mencari seorang lelaki untuk bantu kes bunuh.
Polis mencari seorang lelaki untuk bantu kes bunuh.

KUALA LUMPUR – Polis Shah Alam memburu seorang lelaki untuk membantu siasatan kes bunuh yang dilaporkan berlaku di Batu 5 ¼, Jalan Kampung Jawa dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian antara jam 4 hingga 4.20 pagi itu, suspek dilihat bersama mangsa berhampiran Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, polis bergegas ke tempat kejadian dan menemukan mangsa, R. Dharmaraj, 34, terbaris di tanah dengan lapan kesan tetakan di muka, tangan dan kaki.

“Pusat Kawalan IPD Shah Alam terima panggilan telefon memaklumkan ada orang kena tetak di kawasan tanah lapang berhampiran rumah di Lot 10237, Batu 5 ¼, Jalan Kampung Jawa, Shah Alam.

“Sejurus menerima maklumat, anggota polis IPD Shah Alam bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa yang berlumuran darah terbaring atas tanah di kawasan lapang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tiada dokumen diri dijumpai bersama mangsa, yang disahkan meninggal dunia pada jam 4.21 petang oleh Pembantu Perubatan Hospital Klang yang tiba di tempat kejadian.

Kata Baharudin, hasil siasatan awal berdasarkan keterangan saksi dan rakaman video CCTV di Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran berhampiran tempat kejadian mendapati mangsa bersama suspek telah datang bersama ke tempat kejadian.

“Mangsa telah membonceng motosikal dengan suspek dan tidak lama kemudian suspek dilihat telah mengejar mangsa dengan parang panjang dan kembali semula ke motosikal jenis Honda EX5 seorang diri.

“Setelah suspek pergi, saksi menjumpai mangsa terbaring berlumuran darah dengan beberapa kesan tetakan di muka dan tangan di kawasan lapang lebih kurang 30 meter dari kuil, lalu menghubungi ambulan,” katanya.

Polis kini menunggu laporan post mortem Hospital Klang dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat, menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi terus Pegawai Penyiasat Kes, ASP Effandi Main menerusi talian  013-3414487, IPD Shah Alam 03-55202222. – MalaysiaGazette