KUALA LUMPUR – Tidak perlu malu jika tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, sekalipun hanya Sijil Pencapaian Malaysia (SPM).
Yang lebih penting sebagai wakil rakyat, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, adalah kejujuran dan prestasi dalam berkhidmat untuk rakyat khususnya.
“Bukan soal jawatan apa, belajar apa, di mana, soalnya kejujuran dan saya pasti kalau itu ditekankan, ia akan beri imej kepada rakyat apakah kelayakan kamu sebenar. Kalau SPM cakap je SPM.
“Saya tak malu saya belajar di UPM (Universiti Putra Malaysia) tempatan, itu taraf pendidikan yang saya lalui.
“Rakyat bukan menilai kita bukan hanya berdasarkan sijil tetapi apa yang kita buat dan cara kita berurusan melaksanakan tugas itu yang penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Pesta Demokrasi di Publika hari ini.
Oleh kerana kelayakan ahli politik hanya perlu dinilai berdasarkan cara bekerja maka Amirudin berpendirian, tiada keperluan untuk menetapkan tahap kelayakan pendidikan tertentu bagi menjawat jawatan dalam kerajaan sekalipun dalam arena politik.
“Untuk kita buat standard atau SOP (Standard Of Procedure degree , PhD itu terlalu subjektif di sudut politik.
“Kadang kala yang tidak belajar tinggi pun mampu mengurus dengan baik yang ada sijil, yang besar dan mempunyai master, PhD kadang-kadang membuat keputusan yang silap kerana ada unsur-unsur yang lain,” tambah beliau.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya terpalit dengan dakwaan memalsukan sijil pengajian.
Bagaimanapun, Marzuki membuat pembetulan latar belakang pendidikannya daripada memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England kepada Cambridge International University di Amerika Syarikat (AS).
Bahkan, isu memiliki ijazah palsu turut terpalit pada Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, apabila pelayar Facebook, Ops Johor mendakwa Osman tidak memiliki Ijazah Perakaunan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Susulan pendedahan itu, aktivis politik Khalid Mohd Ismath yakin sekurang-kurangnya 50 peratus ahli politik Pakatan Harapan tidak memiliki ijazah. – MalaysiaGazette