Home Politik Atas kapasiti apa Kit Siang sampaikan sumbangan?

Atas kapasiti apa Kit Siang sampaikan sumbangan?

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Layakkah Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mewakili anaknya, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menyampaikan sumbangan khas RM2 juta kepada Kolej Universiti Selatan?

Persoalan itu ditimbulkan Pas, apabila beberapa keping gambar yang tular di media sosial menunjukkan Penasihat DAP itu memegang replika cek berjumlah RM2 juta, yang dikatakan dari Kementerian Kewangan.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, sebelum ini, sejumlah peruntukan juga telah disalurkan kepada Kolej Universiti New Era.

Jelas beliau, semua peruntukan itu bukan dari Kementerian Pendidikan, sebaliknya dana khas dari Kementerian Kewangan.

“Beberapa keping gambar telah tular di media sosial, antaranya gambar Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang memegang ‘mock cheque’ yang berjumlah RM2 juta dari Kementerian Kewangan.

“Difahamkan Kit Siang sendiri telah menyampaikan cek berkenaan kepada pihak kolej. Adakah Kit Siang mewakili anaknya, Menteri Kewangan dalam program tersebut?” soal beliau dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dilaporkan, pada 30 Januari lalu, Kit Siang dikatakan hadir dan berucap pada majlis penyampian peruntukan RM2 juta kepada Kolej Universiti Selatan.

Berdasarkan replike cek, peruntukan itu adalah daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, timbul persoalan, atas kapasiti apa Kit Siang hadir menyampaikan sumbangan tersebut? Kenapa bukan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek hadir menyerahkan dan berucap pada majlis itu.

Menurut Nasrudin lagi, tidak ada peruntukan khas untuk kolej universiti sepertimana Sekolah Menengah Persendirian Cina dalam Belanjawan 2019.

Katanya, Kementerian Kewangan tidak wajar menggunakan sewenang-wenangnya dana khas untuk kolej universiti yang ternyata lebih moden dan canggih sehingga menafikan peruntukan kepada pihak yang lebih memerlukan.

“Apakah justifikasi Menteri Kewangan kali ini untuk menyalurkan dana tersebut?” soal beliau. – MalaysiaGazette