KUALA LUMPUR – Pengacara dan penyanyi Alif Satar akan mengadakan konsert jelajah di United Kingdom pada minggu depan.
Alif akan mempersembahkan lagu lama nyanyiannya buat pelajar Malaysia yang menuntut di Bristol dan Sheffield.
“Kita tidak tahu apa yang mereka lalui dan hadapi sepanjang merantau di negara orang. Jadi, persembahan saya nanti disifatkan sebagai antara penghargaan untuk mengubati kerinduan mereka terhadap tanah air.
“Saya sendiri tidak menyangka, lagu yang pernah dipopularkan oleh saya kembali diputarkan di corong radio. Terharu rasanya apabila peminat kembali mengimbas memori menyanyikan lagu seperti Akhiri Penantianku, Lelaki Seperti Aku dan banyak lagi.
“Lebih menarik, saya bukan sekadar mengadakan persembahan secara solo, sebaliknya ditemani oleh band iringan. Kami turut aktif memuat naik video di YouTube setelah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat,” katanya dipetik sebagai berkata.
Mendapat sambutan baik, katanya lagi tiket konsert itu telah habis terjual.
“Sudah lama sebenarnya saya menerima undangan untuk membuat persembahan di sana, tetapi asyik terikat dengan jadual kerja yang padat. Saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka, apatah lagi selepas mendengar pengalaman beberapa artis lain yang pernah menjayakan persembahan sama, sebelum ini.
“Ia tentunya pengalaman menarik buat saya dan band yang bakal mengiringi persembahan nanti. Memandangkan saya suka melancong, sambil bekerja, dapat juga saya berjalan-jalan pada masa yang sama,” kata Alif lagi.
Alif akan mendendangkan lebih 10 lagu dan turut menyelitkan beberapa dendangan yang dipopularkan oleh penyanyi lain.-MalaysiaGazette