KUALA LUMPUR – Kenaikan kos sara hidup yang begitu dirasai sejak tahun lalu menyebabkan suri-suri rumah terpaksa berbelanja secara berhemah, pada masa sama mengajar keluarga supaya ‘mengikat’ tekak.
Beberapa suri rumah yang ditemui mengakui kenaikan harga bahan mentah terutama membabitkan barang makanan begitu dirasai sekali.
Seorang suri rumah, Wati Che Ayub berkata, harga barang-barang di pasar semakin mahal sejak awal tahun ini berbanding tahun lalu.
Menurutnya, dari harga ikan, daging, ayam, sayur dan barang keperluan untuk memasak semuanya naik harga.
Katanya, dulu dengan RM100 beliau boleh membeli barang untuk seminggu tetapi pada hari ini dengan jumlah itu hanya cukup untuk dua hari hari.
“Selalunya saya beli dua, tiga jenis ikan dalam empat ekor setiap satu, sedikit sayur, seekor ayam.
“Kalau ikan mahal, saya akan beli telur dan ayam atau daging sedikit. Daging pun sudah mahal. Sotong dan udang atau ketam itu memang jarang sebab mahal sangat,” katanya.
Lina Mohd Said pula memberitahu, suri rumah kini semakin tercabar dengan kehidupan sekarang yang serba-serbi mahal.
Beliau yang ke pasar seminggu sekali mengakui semakin sukar untuk menyelaraskan perbelanjaan dapur dalam keadaan sekarang.
“Dulu saya selalu masak dengan hidang lengkap, ada sayur, ikan atau ayam goreng dan kuah. Kini saya terpaksa kurangkan hidangan kepada satu atau dua hidangan sahaja.
“Memang sekarang ini kena ikat perut, ikat tekak,” tambahnya.
Sementara itu, Eni Kusmianto turut mengeluh dengan trend kenaikan harga kerana ia membabitkan semua jenis barang.
Katanya, kalau dulu ikan kembung mahal, masih ada ikan selar, ikan cencaru atau ikan kerisi yang murah.
Tetapi pada hari ini, kenaikan harga ikan serentak, malah sayur-sayuran juga bukan murah lagi.
“Saya mungkin tidak terasa kerana anak-anak sudah besar dan ada kehidupan sendiri. Tetapi kesian pada orang lain yang mempunyai anak ramai.
“Macam mana hendak belanja kalau ikan kembung pun sudah RM18 sekilo, ikan kerisi RM12, ikan tenggiri atau ikan merah jangan cakaplah sebab mahal.
“Daging sekilo pun RM25 hingga RM35. Ayam memang agak murah tapi mana tekak boleh terima ayam hari-hari. Sayur sawi dan bayam pun sudah RM4 sekilogram. Semua mahal sampai tak tahu barang apa yang murah,” katanya. – MalaysiaGazette