KUALA LUMPUR – Litar pintas menjadi punca stesen minyak Petronas Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor ditutup sementara lebih dua jam, semalam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Selangor dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata kementerian membuat pemeriksaan ke atas stesen berkenaan selepas menerima aduan daripada pengguna.
Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan, anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor mendapati stesen minyak tersebut telah kembali beroperasi dan semua pam berfungsi.
Pengurus stesen berkenaan memaklumkan, penutupan tersebut dibuat pada kira-kira 3.30 petang hingga 5.45 petang disebabkan berlaku litar pintas di stesen itu, katanya.
KPDNHEP juga mendapati stok bekalan semasa di stesen itu mencukupi ketika pemeriksaan dijalankan.
Justeru, KPDNHEP menasihatkan para pengusaha stesen minyak agar meletakkan notis pemakluman yang jelas kepada pengguna jika berlaku sebarang penutupan.
Sebelum itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil maklum ciapan di Twitter Bernama Radio yang menyatakan bahawa stesen minyak itu tidak beroperasi selepas pengumuman perubahan harga petrol.
Beliau mengarahkan KPDNHEP negeri Selangor untuk segera menyiasat dan memberikan laporan penuh ke atas penutupan stesen minyak tersebut.
— BERNAMA