Home Nasional Saya kurang glamor di media sosial – Rina Harun

Saya kurang glamor di media sosial – Rina Harun

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (tengah) bersama Presiden ANSARA, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima watikah Chef De Mission (CDM) cawangan pada Majlis Pelancaran Karnival Sukan ANSARA Malaysia ke-19 (KSA19) di Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Harun mengakui dirinya tidak begitu popular dalam media sosial seperti segelintir pemimpin sebaliknya beliau lebih komited dengan tanggungjawab sedang digalas olehnya.

Kata Rina yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa, banyak usaha yang sedang dan telah dilakukan di kementerian bersama pasukan beliau namun jarang sekali menjadi bahan berita malah namanya sendiri tidak selalu disebut di media sosial.

“Saya mungkin tidak popular di media tetapi saya juga adalah orang melaksanakan setiap apa yang saya cakap itu.

“Antaranya yang boleh kita banggakan ialah sasaran kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kalangan isi rumah B40, kita sasar sebanyak 60 peratus tetapi Alhamdulliah, kini sudah 67 peratus.

“Setakat ini, kita sudah ada 4,890 pelajar yang berjaya masuk daripada kuota masuk sebanyak 7,760. Saya sentiasa berhadapan dengan soalan-soalan dari pelbagai pihak termasuk di Parlimen mengapa MRSM di dominasi oleh golongan elit dan bukan B40. Kita pastikan kemasukan kali ini hanya pelajar-pelajar dari kumpulan ini di utamakan.

“MRSM ini difokuskan terutamanya untuk masyarakat luar bandar dan miskin. Kementerian sedang mengkaji semula dan melihat komposisi golongan elit dan B40 di dalam institusi itu.

“Selain itu, kita juga fokus enam teras dengan ada 29 strategi dan 94 program. Kita main peranan penting agenda pembangunan negara dengan beri fokus kepada penduduk luar bandar. Semalam saya lancar Protaip Rumah IBS bawah program Program Prumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kita ada juga 17,000 buah kampung seluruh negara yang perlu diberikan fokus melalui Program Desa Harapan, ada banyak lagi inisiatif yang kita sedang lakukan melalui Kementerian Luar bandar ini,” katanya.

Jelas Rina, ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih daripada kerajaan terdahulu dengan pelbagai masalah kewangan dan liabiliti tinggi namun tetap komited dan fokus apa dikehendaki oleh rakyat.

“Saya hendak sentuh kementerian saya, saya minta semua jadi kreatif dan inovatif terutamanya apabila ada kekangan kewangan. Saya sendiri turun padang padang jumpa rakyat, tengok kehendak mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang isu berkaitan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikatakan ‘memilih bulu’ dan mempromosi produk usahawan tertentu sahaja, Rina enggan mengulas memanjangkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, bukan senang untuk bergelar usahawan malah ianya memerlukan pengorbanan serta usaha berterusan sehingga dapat mecapai kejayaan seperti yang diharapkan dalam bidang itu.

“Saya tidak mahu komen tentang isu ini dan biarkan sahaja Syed Saddiq beri jawapan itu. Saya pun berharap kementerian tahu ramai sangat mahu menceburi bidang keusahawanan ini tetapi tidak semua yang boleh.

“Sebab untuk menjadi usahawan ini ada banyak cabaran dan ranjau turun naiknya. Saya sendiri belum lagi berjumpa dengan usahawan yang telah berjaya terus tanpa sebarang dugaan dan cabaran.

“Sebab itu, saya sendiri akan beritahu semua agensi di bawah saya supaya jangan patah semangat dengan memberi bantuan kepada mereka semua ini,” tegasnya.

Baru-baru ini, berlaku pertikaian antara seorang usahawan produk minuman yang tidak berpuas hati apabila Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, didakwa tidak membantu mempromosi produk keluaran syarikatnya walaupun sudah memberi penajaan minimum untuk acara kementerian berkenaan.

Enggan memanjangkan isu, Syed Saddiq mengeluarkan arahan membayar semula kos penajaan yang dikeluarkan usahawan berkenaan. -MalaysiaGazette