Home Dunia Lebih 500 mati akibat wabak Ebola

Lebih 500 mati akibat wabak Ebola

Ebola in Congo
Wabak Ebola meragut lebih 500 nyawa di Repubik Demokratik Congo (DRC). foto Reuters

KINSHASA, REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO (DRC) – Lebih 500 orang telah meninggal dunia akibat wabak Ebola terkini di sini namun program vaksin telah menghalang beribu-ribu kematian di negara itu.

Menteri Kesihatannya, Oly Ilunga Kalenga berkata, buat kali pertama program vaksin yang diperkenalkan di negara itu berupaya menyelamatkan 76.425 penduduk.

“Secara keseluruhannya, terdapat 502 kematian dan 271 orang sembuh,”

“Saya percaya kita telah menghalang penyebaran epidemik di bandar-bandar besar di rantau ini.

“Pasukan juga berjaya membendung penyebaran wabak ini ke negara jiran. Masalah terbesar adalah mobiliti tinggi penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Wabak Ebola bermula pada Ogos lalu di rantau Utara Kivu, yang bersempadan dengan Uganda dan Rwanda.

Agensi bantuan perubatan, Doctors Without Borders (MSF) sebelum ini melaporkan bahawa terdapat peningkatan dalam kes itu sejak 15 Januari lalu.

Rwanda, Uganda dan Sudan Selatan di utara semuanya kini berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Ebola adalah penyakit berjangkit serius yang boleh tersebar dengan cepat melalui sejumlah kecil cairan tubuh, menyebabkan pendarahan dalaman dan berpotensi mati.

Wabak terbaru adalah ke-10 di DRC sejak Ebola mula-mula dikesan pada 1976.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak maut itu adalah yang kedua terbesar dalam sejarah, berbanding wabak di Afrika Barat yang membunuh beribu-ribu orang beberapa tahun lalu. – Agensi