LONDON – Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan penyerangnya, Marcus Rashford setanding dengan pemain sensasi Paris Saint-Germain Kylian Mbappe menjelang pertembungan antara kedua-dua pasukan itu dalam aksi Liga Juara-Juara, pagi Rabu ini.
Kedua penyerang muda itu pasti menjadi tumpuan apabila United melayan kunjungan PSG di Old Trafford untuk perlawanan pertama kelompok 16 terakhir.
Rashford kini berada pada prestasi terbaik sejak Solskjaer menggantikan Jose Mourinho pada Disember lalu selepas pemain 21 tahun itu menjaringkan enam gol menerusi 10 penampilan dalam semua pertandingan.
Solskjaer yang kontraknya akan tamat akhir musim ini meluahkan keyakinan Rashford adalah jawapan United terhadap juara Piala Dunia berusia 20 tahun PSG, Mbappe.
“Marcus akan muncul pemain berkualiti tinggi dan saya suka bekerja dengannya.
“Saya pasti PSG akan mengawal Marcus seperti mana United melihat Mbappe sebagai pemain yang berbahaya” kata Solskjaer selepas kemenangan 3-0 Liga Perdana Inggeris ke atas Fulham malam tadi kepada Daily Star.
Mbappe pasti menjadi taruhan PSG selepas seorang lagi penyerang Neymar tidak akan beraksi akibat kecederaan dan tahap kecergasan Edinson Cavani serta Marco Veratti diragui. – MalaysiaGazette