Home Sukan Tanggungjawab kerajaan negeri bayar tunggakan gaji pemain

Tanggungjawab kerajaan negeri bayar tunggakan gaji pemain

syed saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan senam robik bersama penduduk sekitar pada Program Senamrobik Santai di Setia Eco Hill Park, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Setiap kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan lebih besar memastikan tunggakan gaji pemain bola sepak diselesaikan dan tidak berulang lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu tunggakan gaji yang membelenggu beberapa kelab dan persatuan bola sepak negeri termasuk Perlis merupakan dilema tahunan.

Kata beliau, pihaknya perlu berurusan dengan pengurus Liga Super Malaysia (MSL), untuk mencari persetujuan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Kalau kita lihat isu ini, ia adalah masalah yang berulang setiap tahun dan tak boleh ada campur tangan terus dari kerajaan pusat sebab ada mereka mempunyai piawaian tersendiri.

“Saya rasa kerajaan negeri khususnya perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan lebib besar dan memastikan isu tunggakan gaji ini tidak akan berulang lagi.

“Setiap awal tahun sesebuah kelab atau persatuan bola sepak beli pemain teramat mahal dan akhirnya tak dapat menjaga gaji mereka sehingga tertunggak dan tidak ada perniagaan… itu salah sehingga pemain yang sengsara,” katanya di Semenyih.

Syed Saddiq mahu kebajikan setiap pemain diutamakan dan diselesaikan sebaik-baiknya.

“Pemilik setiap kelab bola sepak perlu tahu akan kekuatan mereka dan tidak boleh bertindak remeh temeh dalam perkara ini yang berkait rapat dengan kebajikan atlet.

“Mereka bukan sahaja akan mewakili kelab atau negeri, tapi apabila tiba masanya akan dipanggil untuk mewakili negara.

“Jika peringkat kelab sendiri bermasalah akibat tunggakan gaji, saya rasa agak sukar bagi mereka mendapat peluang untuk dipanggil mewakili negara,” ujar beliau.

Ditanya masalah pengatur perlawanan atau bookie yang dikaitkan dengan soal tunggakan gaji, beliau berkata, pihaknya sedia bertindak tegas mencegah unsur itu sekiranya terdapat pemain membuat laporan.

“Tolong laporkan isu bookie jika wujud, kami akan buat siasatan tersendiri. bekerjasama dengan kelab-kelab dan pemain pemain untuk bertindak, kita tak boleh terima bookie,” katanya.- MalaysiaGazette