Home Nasional Palsu kelayakan akademik perlu siasatan terperinci

Palsu kelayakan akademik perlu siasatan terperinci

Nasrudin Hasan
Nasrudin Hasan

KUALA LUMPUR – Susulan pendedahan isu pemalsuan kelayakan akademik yang melibatkan menteri dan wakil rakyat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dicadangkan agar siasatan terperinci dilakukan dengan segera.

Jika perkara itu melibatkan pemalsuan dokumen, ia boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Oleh itu, beberapa implikasi perundangan akan berlaku dan kemungkinan akan menjejaskan kedudukan politik mereka.

Menurut Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasrudin Hasan, perbuatan itu adalah suatu yang serius.

Katanya, Pas tidak mempersoalkan taraf kelayakan akademik mana-mana pihak, tetapi tindakan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan hak terhadap sesuatu kepentingan adalah tindakan tidak boleh dimaafkan.

“Berdasarkan kepada maklumat yang telah ditularkan di media sosial, lebih daripada tiga anggota kabinet yang menjadi sasaran warga internet.

“Ia telah menjejaskan reputasi seluruh kabinet kerajaan sekiranya tiada tindakan lanjut diambil,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Baru-baru ini heboh isu berhubung pemalsuan sijil akademik oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Beliau pada mulanya bertegas menyatakan belajar di Cambridge of University di United Kingdom (UK), bagaimanapun, selepas pendedahan demi pendedahan dilakukan warganet, Marzuki akhirnya mengaku mendapatkan sijil itu dari Cambridge International University di Amerika Syarikat (AS).

Jelas Nasrudin lagi, isu itu turut dilaporkan beberapa media antarabangsa yang berpengaruh seperti Bloomberg dan Business Insider Singapore.

Oleh itu, katanya, Pas mendesak siasatan terperinci dilakukan dan jika benar kes itu perlu diadili sewajarnya. – MalaysiaGazette