JAMBI (INDONESIA) – Gunung Kerinci mungkin agak kurang popular dalam kalangan pendaki negara ini berbanding dua lagi gunung di Indonesia iaitu Gunung Rinjani dan Gunung Semeru.
Barangkali ada yang terlepas pandangan tentang keistimewaan Gunung Kerinci yang bersempadan dengan wilayah Sumatera Barat, Pegunungan Bukit Barisan di sebelah pantai barat dan terletak sekitar 130 kilometer (km) di sebelah selatan Padang.
Gunung yang tersergam indah itu dikelilingi hutan tebal Taman Nasional Kerinci Seblat yang merupakan habitat semulajadi harimau serta badak Sumatera.
Selain itu, Gunung Kerinci adalah gunung tertinggi di Sumatera dengan ketinggian 3,805 meter (m) yang juga gunung berapi tertinggi di Indonesia yang kali terakhir meletus pada tahun 2009.
Gunung Kerinci mendapat gelaran Puncak Indrapura merupakan gunung tertinggi selepas Gunung Cartenz Jaya Wijaya yang terletak di Papua.
Dikenali juga sebagai Atap Sumatera, gunung itu sebenarnya menjadi fenomena dalam kalangan pendaki Indonesia dan termasuk dalam salah satu ‘tujuh puncak Indonesia’.
Mengikuti program pendakian ke Gunung Kerinci anjuran OHANA Adventure Sport baru-baru ini, penulis berpendapat, pendaki dan pencinta gunung perlu memasukkan Gunung Kerinci dalam salah satu senarai gunung impian mereka yang perlu didaki selepas Gunung Rinjani di Lombok dan Gunung Semeru di Indonesia.
Cabaran paling getir mendaki Gunung Kerinci apabila hendak sampai puncak.
Ia cukup azab dan sengsara sekiranya pendaki tidak cukup stamina dan latihan.
Apatahlagi pendaki perlu melawan angin kuat, hujan dan asap sulfur gunung berapi yang membuat tekak menjadi perit dan mata pedih.
Belum lagi trek gunung itu yang curam, menegak, berbatu dan berpasir dan jika tersalah langkah akan membuatkan pendaki menggelungsor balik.
Menyorot kembali pengalaman ke sana, dari Lapangan Terbang Padang, kami memulakan perjalanan ke Jambi menaiki van menuju ke Kampung Kresik Tuo yang mengambil masa lebih lapan jam perjalanan.
Di Kersik Tuo, kami telah bermalam di Kerinci View Homestay sebelum memulakan pendakian pada keesokannya. Dari sana, kami menuju ke Pintu Rimba yang mengambil masa selama selama 30 minit dengan menaiki van.
Untuk sampai ke puncak, pendakian dari Pintu Rimba perlu menempuh Pos 1 dengan ketinggian 1,885m, Pos 2 (2,020m), Pos 3 (2,225m), Shelter 1 (2,504m), Shelter 2 (3,100m) dan akhir sekali Shelter 3 (3,600m) sebelum berhenti berehat dan bermalam di sana.
Pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Shelter 3 kerana ia merupakan kawasan tidak rata permukaaannya dan hanya terdapat pokok-pokok renek sahaja.
Setelah khemah dipasang, kami berehat sambil menunggu makan makan malam. Suhu ketika itu begitu sejuk sehingga menyebabkan badan menggeletar tatkala angin kuat dan hujan turun renyai-renyai.
Keesokannya, kami bangun seawal pukul pagi untuk makan dan bersiap-siap untuk serangan puncak atau summit attack.
Ketika ini, hanya tuhan sahaja tahu perasaan kami kerana hanya bertemankan kegelapan dinihari dan suhu yang sangat sejuk.
Cuma yang ada, hanya keazaman yang tinggi untuk menawan gunung berapi tertinggi di Indonesia menjadi motivasi kepada kami untuk terus kuat.
Menuju ke puncak, kami tidak bergerak di dalam kumpulan kerana perlu berpecah mengikut keupayaan masing-masing.
Akhirnya sekitar pukul 7 pagi, kumpulan kami akhirnya berjaya menawan Gunung Kerinci di sebalik keadaan cuaca yang tidak baik.
Tiada rezeki untuk melihat pemandangan Kota Jambi, Padang, dan Bengkulu.
Apatah lagi Lautan Hindi dan di sebelah timur puncak pula kelihatan Danau Bento – paya berair jernih tertinggi di Sumatera dan di belakangnya terdapat Danau Gunung Tujuh.
Kesimpulannya, Gunung Kerinciini bukan biasa-biasa namun satu pengalaman luar biasa sebagai seorang pendaki.
Bagi mereka yang berminat mendaki ke Gunung Kerinci, OHANA menawarkan pakej yang cukup berbaloi iaitu RM799 termasuk tiket pergi balik kapal terbang.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook: OHANA Adventure Sport atau hubungi talian 013 616 0548. – MalaysiaGazette