Home Politik Yakin Tun M faktor kami sertai Bersatu

Yakin Tun M faktor kami sertai Bersatu

Bekas Ahli Parlimen UMNO, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad bercakap pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi faktor kesemua bekas tujuh ahli parlimen UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mewakili kesemua wakil rakyat terbabit selepas pengumuman penerimaan mereka ke Bersatu hari ini.

Menurut Abdul Latif, menjadi tanggungjawab mereka untuk memperkuatkan pasukan Mahathir menerajui kepimpinan negara agar lebih cemerlang.

“Kami tadi telah diberi kuliah panjang oleh Dr. Mahathir. Kami bersyukur kerana dapat dengar amanat serta syarahan pendek beliau. Kami bersama Bersatu kerana kita yakin perjuangan yang dibawa oleh Tun.

“Saya pernah berada di bawah anggota kabinet Dr. Mahathir semasa Perdana Menteri Keempat. Tidak timbul isu rasis kerana di Malaysia, etnik dominan adalah Melayu bumiputera dan Tun berkuasa sebagai Perdana Menteri dan menjadi tanggungjawab kami memperkuatkan Melayu dan bumiputera,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain Abdul Latiff, Ahli Parlimen Hulu Terengganu; Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Tasik Gelugor; Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut; Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam; Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz turut diterima menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, Abdul Latiff ketika diminta menjelaskan mengenai langkah mereka memilih Bersatu selepas gabungan politik Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14 kerana mahu memperkuatkan kepimpinan Mahathir.

“Kita semua dahulu bersama Dr. Mahathir kerana beliau adalah pemimpin parti kita dan pada waktu itu kuasa ada padanya tetapi apabila kami (UMNO) kalah, ini kita katakan, politik semua melibatkan angka.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk memperkuatkan Dr. Mahathir dan menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang,” ujarnya. – MalaysiaGazette